am@hmetro.com.my
Miri: Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 mencatatkan lebih 350,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya yang berakhir semalam, sekali gus melepasi sasaran awal 300,000 orang.
Sambutan luar biasa itu bukan sahaja membabitkan warga Miri, malah pengunjung dari luar Sarawak termasuk Brunei.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datul Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan berkenaan membuktikan KJH mempunyai daya tarikan kepada penduduk tempatan dan pengunjung dari luar Sarawak.
“Kementerian berharap kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran itu turut membuka ruang untuk acara sama dianjurkan lagi di Miri dengan pengisian lebih pelbagai dan menarik bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Selain hiburan, program seperti ini dapat menjana ekonomi warga setempat, sekali gus memacu sektor pelancongan kita.
“Kita boleh menganjurkan acara yang sama pada masa hadapan dengan barisan program dan aktiviti yang lebih banyak serta menarik,” katanya.
KJH Sarawak Segulai Sejalai 2026 berlangsung di Miri Boulevard menampilkan pelbagai aktiviti keluarga, persembahan kebudayaan, sukan, pameran, reruai usahawan dan konsert artis popular.
Penganjuran itu kembali ke Miri selepas 19 tahun dan menghimpunkan lebih 160 reruai termasuk penyertaan usahawan serta agensi kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




