Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa sedih di atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang disifatkannya sebagai satu kehilangan yang masih sukar untuk diterima.

Menerusi kenyataan di Instagram, Syed Saddiq berkata pertemuan terakhir mereka langsung tidak dirasakan seperti sebuah perpisahan, malah dipenuhi gelak tawa, gurauan, cerita serta nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, I would have wished for those two hours to last forever,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Menurutnya, Tun Siti Hasmah seorang yang baik hati, lucu, mesra dan kaya dengan kebijaksanaan yang lahir daripada pengalaman hidup serta pengorbanan selama bertahun-tahun.
Syed Saddiq turut mengakui masih belum mampu menghadam kenyataan bahawa Tun Siti Hasmah kini sudah tiada.
“I love you, Tun. More than the universe will ever know. Hati saya hancur. A part of me still refuses to believe that you are no longer here,” luahnya.

Dalam pada itu, beliau menerima pemergian tersebut sebagai ketentuan Allah SWT dan memanjatkan doa agar Allah mengurniakan Tun Siti Hasmah tempat tertinggi di dalam syurga.
Syed Saddiq turut mengenang jasa Tun Siti Hasmah yang menurutnya telah meninggalkan satu kenangan terakhir yang begitu indah buat dirinya dan Bella Astillah, selain pelbagai nasihat yang akan terus mereka pegang.
Lebih menyentuh hati, Syed Saddiq berkata beliau dan Bella tidak sempat memenuhi hajat Tun Siti Hasmah untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka nanti.
“Saddiq & Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti, but I promise you Tun your advice will,” kongsinya.
Beliau berjanji akan membawa segala nasihat yang diberikan Tun Siti Hasmah ke dalam alam perkahwinan, kehidupan berkeluarga serta kehidupan mereka untuk selama-lamanya.
“May Allah grant you the highest place in Jannah. Until we meet again, Tun. Al-Fatihah,” tambahnya lagi.
Sumber: Instagram syedsaddiq




