Tun Hasmah banyak bercerita soal tuhan, alam baqa – TPM Zahid

Tun Hasmah banyak bercerita soal tuhan, alam baqa – TPM Zahid

Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali banyak berbicara mengenai Tuhan, alam baqa dan padang mahsyar ketika pertemuan terakhir bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada minggu lalu.

Foto: The Sun Malaysia

Memetik laporan Sinar Harian, perkara itu dikongsikan Ahmad Zahid ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediamannya pada Isnin.

Menurut Ahmad Zahid, pertemuan berkenaan turut dipenuhi dengan cerita lama dan nostalgia apabila isterinya, yang merupakan anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkesempatan meluangkan masa berbual panjang bersama Allahyarham.

“Secara kebetulan, isteri saya baru mengunjungi Allahyarham Tun Hasmah pada minggu lepas. Mereka berbincang panjang dan sebagai anggota Bakti, mereka bernostalgia.
“Yang diceritakan oleh isteri saya, beliau banyak bercerita tentang tuhan seolah-olah beliau mengetahui akan pergi buat selama-lamanya,” ujarnya pada Isnin.

Foto: Astro Awani

Sebelum ini, anak Allahyarham, Tan Sri Mokhzani Mahathir, memaklumkan Tun Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Allahyarham yang berusia 100 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.20 pagi.

Ahmad Zahid berkata, pemergian Tun Hasmah turut dirasai oleh keluarganya yang sama-sama mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.

“Kami turut berdoa agar keluarga beliau diberikan kekuatan serta Allahyarham ditempatkan di sisi hamba-hamba yang beriman, insya-ALLAH,” katanya.

Mengulas mengenai pemergian Tun Hasmah dan sumbangannya kepada negara, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai satu kehilangan yang amat besar.

Artikel lain: “Bukan sekadar tercatat dalam sejarah” – Sanusi kenang jasa Tun Hasmah buat rakyat Kedah

Menurutnya, Allahyarham banyak menabur jasa sepanjang berada dalam kehidupan masyarakat, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan wanita serta menerusi penglibatannya bersama Bakti.

“Ini sangat besar kerana Allahyarham menjadi wanita pertama selama 22 tahun. Tentunya kami merasakan kehilangan yang teramat sangat kerana Allahyarham telah banyak menabur jasa, terutamanya dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Scroll to Top