Bangkok banjir, pasar jadi 'terapung'

Bangkok banjir, pasar jadi 'terapung'

Bangkok: Ribuan penduduk berlindung di pusat pemindahan di ibu negara Thailand pada Isnin, selepas beberapa kawasan masih dilanda banjir susulan hujan lebat pada hujung minggu lalu.

Pada masa sama, peningkatan paras air di takungan di wilayah timur menyebabkan arahan pemindahan dikeluarkan kepada lebih ramai penduduk.

Beberapa kawasan kejiranan ditenggelami air dan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah air selepas hujan sehingga 320 milimeter (mm) turun dalam tempoh dua atau tiga hari minggu lalu, hampir menyamai jumlah hujan yang biasanya diterima Bangkok sepanjang September.

“Lebih 80,000 penduduk yang tinggal di kawasan dilanda banjir tidak dapat meninggalkan rumah mereka,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri, Unsit Sampuntharat, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dapur bergerak dan bot turut dikerahkan bagi membantu operasi bantuan.

“Matlamatnya adalah menyediakan tiga hidangan sehari kepada semua penduduk sepanjang tempoh banjir dan sekurang-kurangnya tujuh hari lagi selepas air surut,” katanya ketika hujan berselang masih melanda Bangkok pada Isnin.

Sekurang-kurangnya lapan maut

Kementerian Dalam Negeri berkata, Bangkok adalah antara 41 wilayah di Thailand yang dilanda banjir sejak 16 September lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan kematian dan menjejaskan lebih 580,000 rumah.

Ahli ekonomi Universiti Rangsit, Aat Pisanwanich, menganggarkan banjir itu menyebabkan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya 11 bilion baht (RM1.38 bilion) di seluruh negara, dan jumlah berkenaan dijangka meningkat jika keadaan tidak bertambah baik.

“Banjir dijangka mengurangkan 0.3 mata peratusan daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 2.1 peratus, selain mengurangkan pertumbuhan suku ketiga kira-kira 0.5 mata peratusan kepada 1.7 peratus,” katanya kepada Reuters.

Ekonomi Thailand, kedua terbesar di Asia Tenggara, berkembang 1.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, namun kadar itu masih jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada suku sebelumnya.

Aat berkata, Bangkok dan wilayah timur dijangka menerima kesan paling besar, terutama sektor borong dan peruncitan, manakala sektor perindustrian dan pertanian turut terjejas di kawasan lain.

Pasar terapung ketika banjir

Di kawasan Bang Kapi yang teruk dilanda banjir, penduduk terpaksa meredah air sehingga paras pinggang untuk membeli barangan keperluan daripada peniaga.

Sebahagian peniaga menggunakan kotak plastik dan tong yang diubah suai sebagai gerai terapung, tiga hari selepas hujan tanpa henti menyebabkan kawasan berkenaan ditenggelami air.

Seorang pegawai pentadbiran Bangkok berkata, sekurang-kurangnya 5,901 penduduk dipindahkan ke 234 pusat pemindahan.

Bangkok yang terletak di delta sungai dengan tanah liat lembut hanya kira-kira 1.5 meter (5 kaki) dari paras laut, turut mengalami masalah penurunan tanah beberapa milimeter setiap tahun.

Ibu negara berpenduduk lebih 8.4 juta itu juga sering berdepan banjir sepanjang musim hujan yang berlangsung kira-kira enam bulan.

Di wilayah Rayong yang terletak di timur dan berhampiran kawasan perindustrian utama, pihak berkuasa mengarahkan penduduk berpindah pada Isnin selepas paras air di dua takungan meningkat melebihi kapasiti.

Tahun lalu, banjir besar di selatan Thailand akibat hujan sehingga 630mm dalam tempoh tiga hari menyebabkan sekurang-kurangnya 145 orang maut, lebih 33,000 rumah ditenggelami air serta merosakkan kemudahan penting termasuk sekolah, hospital dan lebuh raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top