Senyuman Syahir senjata Golden Tigers

Senyuman Syahir senjata Golden Tigers

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Senyuman menjadi senjata tekong negara, Mohamad Syahir Mohd Rosdi, untuk mengawal tekanan ketika ketinggalan sebelum membantu Golden Tigers bangkit menewaskan Filipina 2-1 pada separuh akhir antara regu Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Syahir berkata, tindakan itu dilakukannya bagi memastikan tekanan tidak menguasai dirinya dan rakan sepasukan ketika berdepan situasi sukar, terutama selepas kehilangan set pertama.

“Apabila kami senyum, kami tidak berasa terlalu tertekan. Senyuman adalah salah satu cara untuk melepaskan tekanan ketika perlawanan dan memastikan kami kekal tenang. Ia banyak membantu kami dalam perlawanan ini,” katanya.

Malaysia terlebih dahulu tewas set pertama 10-15 kepada Filipina sebelum bangkit memenangi set kedua 15-11 dan set penentuan 15-7 untuk menempah tiket ke final.

Menurut Syahir, tekanan sememangnya tinggi ketika berdepan Filipina yang tampil baik pada set pertama, namun arahan jurulatih membantu mereka mengubah rentak permainan.

“Kami berada di bawah tekanan tinggi dalam perlawanan menentang Filipina. Mereka bermain dengan baik pada set pertama dan kami tewas.

“Namun, kami berjaya bangkit memenangi dua set berikutnya. Selepas kalah set pertama, kami mendengar arahan jurulatih dan memastikan semua yang diberitahu dilaksanakan,” katanya.

Kejayaan itu membawa Malaysia ke final untuk berdepan Thailand yang menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top