SINGAPURA: Ramai pengguna media sosial menyuarakan sokongan terhadap denda baharu menyasarkan penumpang bas awam yang memasang muzik dengan kuat, meletakkan kaki di atas tempat duduk atau melakukan perbuatan lain yang mengganggu ketenteraman.
Mulai minggu lalu, penumpang yang melakukan perbuatan sedemikian boleh didenda sehingga S$500 (RM1,594) di bawah undang-undang baharu bertujuan menjadikan perjalanan menggunakan bas awam menjadi lebih selamat dan selesa.
Kesalahan lain termasuk membuang sampah dan makan atau minum di dalam bas.
Memuatkan artikel berkaitan…
Kesalahan lebih serius, termasuk menyebabkan halangan atau bahaya di terminal bas, atau mengotorkan mana-mana bahagian kenderaan awam itu boleh dikenakan denda dalam jumlah yang sama.
Seorang pencipta kandungan, @alkisahproductions, menegaskan bahawa pengangkutan awam merupakan ruang yang dikongsi bersama dan tidak sepatutnya penumpang melakukan perbuatan sedemikian.
“Ingat, tambang bas anda mungkin S$2 (RM6.38) tetapi perbuatan anda boleh menyebabkan denda S$5,000,” katanya.
Seorang lagi pencipta kandungan @benwhoah memuat naik video di TikTok bagi menyatakan sokongannya, sambil berkata, Singapura akhirnya mengenakan denda terhadap penumpang bas yang memasang muzik dengan kuat atau meletakkan kaki di atas tempat duduk.
Beliau berkata bahawa tiada gunanya meminta rakyat Singapura supaya bertimbang rasa, tetapi apabila melibatkan wang, tiba-tiba semua orang menjadi lebih prihatin terhadap kepentingan awam.
“Denda ialah bahasa kasih sayang kita,” katanya.
Antara perbuatan yang boleh dikenakan tindakan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) itu termasuk muntah, membuang air kecil, meludah, menumpahkan cecair badan pada kerusi, lantai atau pemegang tangan dan mencemarkan premis dengan makanan, lumpur atau minyak.
Singapura sememangnya terkenal dengan kawalan ketat di kawasan awam menerusi pelbagai hukuman bagi kesalahan membuang sampah atau merokok di kawasan larangan.
Sebelum ini, Singapura pernah menggemparkan dunia apabila melarang penjualan dan pengimportan gula-gula getah pada 1992. – AGENSI




