zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching memaklumkan akan terus mengenang Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dengan penuh kasih sayang.
Menzahirkan rasa sedih atas pemergian Dr Siti Hasmah hari ini, Lee berkata, beliau mengenali Allahyarhamah selama bertahun dan sentiasa gembira setiap kali bertemu dengannya.
Lee juga menyifatkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai seorang yang mesra dan berbudi bahasa, penuh semangat dan pandai berjenaka.
“Saya terkenang perbualan kami mengenai kecintaan beliau terhadap muzik dan biola. Beliau terus membuat persembahan sehingga usia 90-an, termasuk bagi mengumpul dana untuk tujuan kebajikan. Semangat hidupnya amat mengagumkan.
“Sebagai seorang doktor, beliau menumpukan sebahagian besar hidupnya untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya wanita, kanak-kanak dan keluarga,” katanya menerusi catatan di Facebooknya, hari ini.
Lee turut berkongsi gambarnya dan isteri bersama Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah yang dirakam pada Mei 2018.
Ucapan takziah turut dizahirkan kepada Dr Mahathir dan keluarga dalam mengharungi detik sukar itu.
“Semoga roh beliau beroleh ketenangan,” katanya.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi tadi pada usia 100 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




