Saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila menjadi anak Malaysia pertama menerima penajaan Tokoh Siswa Luar Negara daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi melanjutkan pengajian di luar negara.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pemilihan Ng Zhen Fan Shankar, 27, disifatkan sebagai satu kebanggaan, memandangkan beliau menjadi antara mahasiswa yang melakar pelbagai pencapaian hingga ke peringkat antarabangsa.
“UPSI melahirkan rasa bangga atas pemilihan yang dibuat oleh KPT untuk menaja sepenuhnya sepanjang pengajian Zhen Fan Shankar melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Perakaunan dan Kewangan di University of Leeds, United Kingdom.
“Beliau sememangnya seorang mahasiswa yang sangat aktif, malah melakar pencapaian di peringkat universiti, nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, antara pencapaian Ng adalah Anugerah Tokoh Siswa Negara, Anugerah Perdana Naib Canselor, Anugerah Kepimpinan MPP, Anugerah World Leader Changemaker, Anugerah Ikon ESG KPT 2024 serta pernah menjadi Delegasi Malaysia ke ASEAN Youth Conference yang berlangsung di Pejabat Kedutaan ASEAN Indonesia.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada semua penuntut UPSI untuk aktif mengikuti pelbagai program sama ada di dalam atau luar negara,” katanya.
Sementara itu, Ng yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan bangga dan terharu atas pemilihan itu apatah lagi menjadi calon pertama yang ditaja di bawah Biasiswa Tokoh Siswa KPT Luar Negara.
“Saya akan berada di United Kingdom selama setahun dan akan memanfaatkan peluang dan penghargaan oleh KPT ini dengan sebaik mungkin.
“Saya berazam untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah dan memasang impian untuk menjadi pensyarah,” katanya.
Dalam pada itu, bapanya Ng Sin Wah, 60, seorang jurukimpal serta ibu, Kinasunthari Suppiah 63, yang bekerja sebagai kerani menganggap pemilihan anaknya itu sebagai rezeki yang sangat berharga demi masa depan mereka sekeluarga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




