Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000

Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Dua wanita dan seorang lelaki diberkas selepas didapati menyimpan pelbagai jenis burung tanpa lesen bernilai RM709,950 dalam serbuan di Kampung Binjai Manis, di sini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal, berkata, serbuan dilakukan pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu antara 4.10 petang hingga 5.30 petang Ahad.

Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas enam kediaman dan tiga individu ditahan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 46, 33 dan 23 tahun kerana kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Hasil serbuan, sejumlah hidupan liar terdiri pelbagai spesies burung dilindungi berserta sangkar dianggarkan bernilai RM709,950 disita.

“Antara dirampas, 38 burung luris leher, dua burung murai batu, sembilan burung ruak-ruak dan pelbagai spesies burung lain disyaki dilindungi termasuk burung daun daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbah kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas 60 unit sangkar dan operasi itu membabitkan keseluruhan 24 anggota.

“Semua individu yang ditahan bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top