Chelot raih kutipan RM19.5, sekuel Chelot 2 bakal menyusul

Chelot raih kutipan RM19.5, sekuel Chelot 2 bakal menyusul

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Filem aksi tempatan, Chelot terus mencetuskan fenomena luar biasa sekali gus melakar sejarah tersendiri di pawagam seluruh negara apabila berjaya mengumpul kutipan rasmi mencecah RM19.5 juta.

Kejayaan cemerlang ini secara tidak langsung membuktikan dominasi karya arahan pengarah tersohor Adrian Teh yang mula ditayangkan sejak 27 Ogos lalu terus mendapat tempat di hati peminat filem tanah air.

Sebagai kemuncak kejayaan ini, Adrian secara rasmi mengumumkan bahawa perjuangan Chelot masih belum berakhir apabila kehangatan fenomena ini bakal diteruskan menerusi sekuel terbaharu, Chelot 2!

Pengumuman eksklusif ini dijangka bakal meledakkan lagi rantaian francais aksi tempatan dengan garapan plot yang lebih agresif, skala pertarungan lebih mantap, serta pelbagai kejutan menarik.

Justeru, pasukan produksi dan seluruh kru filem Chelot merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan “Terima Kasih Malaysia” atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Bagi mereka yang belum menyaksikan atau mahu merasai semula kehangatan filem ini, orang ramai dijemput untuk terus meramaikan pawagam berdekatan.

Filem Chelot berkisar kisah seorang pegawai Unit Operasi Khas yang dihimpit masalah kewangan kritikal sehingga terjerat dalam sindiket penyeludupan senjata akibat satu keputusan yang salah.

Kini, dia terpaksa bertindak sebagai orang dalam dan mempertaruhkan segala-galanya, merangkumi kerjaya, keselamatan keluarga serta nyawanya sendiri demi menumpaskan sindiket berbahaya terbabit.

Karya ini dibintangi barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani dan Theebaan G.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top