Seludup dadah dalam kasut, wanita antara 5 rakyat Malaysia ditahan di Jakarta

Seludup dadah dalam kasut, wanita antara 5 rakyat Malaysia ditahan di Jakarta

safeek@bh.com.my

Jakarta: Lima rakyat Malaysia ditahan Badan Reserse Kriminal (BARESKRIM) Polis Republik Indonesia (POLRI) Jumaat lalu, selepas disyaki menyeludup lima kilogram (kg) cecair dadah sintetik jenis etomidate yang disembunyikan di bahagian dalam kasut masing-masing.

Kelima-lima suspek ditahan petugas Bahagian Duti dan Cukai, Kastam dan Eksais Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada selepas tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan AirAsia QZ201.

Pengarah Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Republik Indonesia, Ir Jeneral Eko Hadi Santoso, berkata pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati setiap suspek membawa dua bungkusan serbuk putih yang disembunyikan di bahagian insole (tapak dalam) kasut.

“Setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki etomidate dengan berat kira-kira 500 gram setiap bungkusan.

“Keseluruhannya ditemukan 10 bungkusan dengan berat lima kilogram,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi CNN Indonesia hari ini.

Kelima-lima suspek Malaysia itu dikenal pasti sebagai Mohamad Zulhusni, 49; Nur Aisyah, 25; Emmanuel, 24; Prince Alvin Robin, 22; dan Muhammad Adam, 21.

Hasil soal siasat mendapati mereka dipercayai dikawal seseorang individu yang menggunakan nama panggilan ‘Madam’ menerusi aplikasi Telegram.

Setibanya di Jakarta, mereka diarahkan menuju sebuah hotel di Harmoni, Jakarta Pusat sebelum semua kasut yang mengandungi serbuk etomidate dimasukkan ke dalam sebuah beg pakaian berwarna merah.

Beg berkenaan kemudiannya akan diserahkan kepada seorang lelaki warga China, Wu Song, 25, di lobi hotel berkenaan.

Susulan maklumat itu, pasukan gabungan Bareskrim POLRI kemudian menahan Wu Song dan menemui kunci sebuah unit apartmen di Mediterania Marina Residence, Jakarta Utara, dalam pemeriksaannya.

Hasil pengembangan siasatan ke unit apartmen itu membawa kepada penemuan makmal rahsia yang dipercayai digunakan bagi menghasilkan pod vape mengandungi etomidate.

Polis turut merampas pelbagai bahan mentah dan peralatan pemasangan pod vape, antaranya 16 jeriken cecair perisa berkapasiti lima liter setiap satu, lima botol cecair berkapasiti satu liter, 21,000 pod vape kosong dan 15,000 penutup silikon pod vape.

Turut dirampas ialah 800 tiub plastik serta 4,715 bekas pod pelbagai perisa.

Eko berkata, Wu Song dipercayai berada di Indonesia sejak September lalu dan menetap di apartmen berkenaan, selain mengaku menerima arahan menerusi kumpulan komunikasi aplikasi ‘signal’ untuk merekodkan stok barangan.

Polis menganggarkan nilai bahan mentah dan peralatan pemasangan vape etomidate yang dirampas mencecah Rp127.5 bilion (kira-kira RM33.8 juta).

Kejayaan mematahkan aktiviti penyeludupan ini sekali gus dapat menghalang pengedaran kira-kira 42,500 pod dan menyelamatkan sekitar 21,250 orang daripada bahaya penyalahgunaan narkotik.

Kesemua suspek disiasat mengikut peruntukan undang-undang narkotik Indonesia, termasuk Seksyen 119(2) dan Seksyen 132(1) Undang-Undang Republik Indonesia Nombor 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top