puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelawak Shahrol Shiro memohon spekulasi mengaitkan pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkait dengan lantikan politik diberhentikan.
Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, 42, menerusi hantarannya di Instagram semalam berkata, pelantikannya langsung tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana ahli politik.
“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik.
“Tiada kena mengena langsung dan juga saya sedar serta insaf saya ini hanyalah pemegang (graduan) diploma. Doakanlah semoga degree (Ijazah Sarjana Muda) saya habis tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, Shahrol berpandangan gabungan antara kelayakan akademik daripada universiti dan pengalaman sebagai penggiat industri seni mampu memberikan impak positif kepada golongan mahasiswa.
“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri (seni) membawa pengalaman di lapangan.
“Apabila kedua-dua ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa. Terima kasih,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai bagaimana lantikan itu berlaku, Shahrol berkata, semuanya bermula selepas pertemuannya dengan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UKM Profesor Dr Norinsan Kamil Othman pada tahun lalu.
Menurutnya, dalam perbualan mereka, Norinsan memaklumkan mengenai pelbagai kursus Citra yang ditawarkan kepada pelajar sekali gus tercetusnya idea untuk mewujudkan Citra Seni Komedi.
Dalam pada itu, Shahrol turut berkongsi UKM antara universiti terawal yang mendukung seni komedi dengan bukti sejarah rakaman sitkom legenda Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah dibuat di Panggung Eksperimen UKM yang kini dikenali sebagai Panggung Seni UKM.
Susulan perbincangan itu, Shahrol bersama beberapa pelawak tempatan turut dijemput meraikan Malam Citra UKM serta diberi penghormatan membuat persembahan ‘stand-up comedy’ yang menerima sambutan luar biasa, sebelum akhirnya ditawarkan jawatan sebagai tenaga pengajar.
Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi Pusat Komunikasi Korporat UKM di Facebook, pelantikan Shahrol di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC) adalah sebagai pengajar sambilan kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada ‘stand-up comedy.’
Dalam hantaran sama, UKM menegaskan pelantikan Shahrol sebagai tenaga pengajar sambilan itu hanya berkaitan latihan amali dan praktikal sahaja tanpa membabitkan pengajaran di dalam kuliah.
“Lantikan ini juga adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.
“Kursus Citra UKM (Seni Lakon) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar UKM bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan.
“FPSC adalah fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, meliputi pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform,” kata kenyataan terbabit, semalam.
Terdahulu, Shahrol berkongsi khabar gembira mengenai pelantikannya sebagai tenaga pengajar kursus Citra UKM di akaun Instagramnya.
Bagaimanapun, perkongsiannya itu menjadi perdebatan hangat di media sosial apabila segelintir netizen yang mempersoalkan pelantikan itu kerana latar belakang akademiknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




