Pemandu teksi dakwa diperhatikan sebelum dirompak dua lelaki

Pemandu teksi dakwa diperhatikan sebelum dirompak dua lelaki

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu teksi bersama rakan wanitanya berdepan detik cemas apabila leher mereka diacukan parang sebelum barangan berharga bernilai RM3,000 dilarikan dua lelaki dipercayai perompak.

Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi Sabtu lalu ketika mangsa yang ingin dikenali Kong, 57, bersama rakan berusia 48 tahun sedang minum dan berbual di luar sebuah kedai makan di Jalan Riang Ria, Happy Garden, di sini.

Menurut Kong, sebelum kejadian, dia bersama lebih 10 rakannya berada di kedai makan berkenaan, namun mereka beransur pulang meninggalkan dia dan rakan wanitanya yang masih berada di situ.

“Sehingga kira-kira jam 4 pagi, keadaan di sekeliling hampir tiada orang. Ketika itu, dua lelaki tiba-tiba menghampiri kami dan mengacukan parang ke leher saya sambil mengarahkan kami supaya ‘jangan bergerak’ serta mengugut meminta menyerahkan barang berharga.

“Beg tangan dan dompet milik saya serta rakan dirampas menyebabkan kami kehilangan wang tunai RM1,100, telefon bimbit, kunci kereta dan dokumen pengenalan diri dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM3,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit milik rakannya yang baharu dibeli kira-kira dua bulan lalu.

“Kedua-dua suspek bertubuh kurus dan memakai topi keledar menyebabkan wajah mereka tidak dapat dilihat dengan jelas.

“Selepas itu mereka melarikan diri ke hujung lorong, namun keadaan ketika itu gelap dan kami tidak dapat melihat arah mereka melarikan diri,” katanya.

Kong mendakwa, selepas kejadian, rakan teringat yang pernah melihat salah seorang suspek keluar masuk dari pusat permainan elektronik di sebelah kedai makan terbabit beberapa sebelum rompakan itu.

“Dia beritahu selepas kejadian suspek mundar-mandir di sekitar kawasan. Mungkin ketika itu mereka sudah mencari sasaran untuk melakukan rompakan,” katanya.

Menurutnya, pengusaha kedai makan dan pusat permainan elektronik berkenaan turut menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada polis.

“Rakaman CCTV menunjukkan suspek sudah berada dan mundar-mandir di kawasan berkenaan untuk tempoh yang agak lama sebelum kejadian.

“Keseluruhan kejadian berlaku dengan begitu pantas, namun mujurlah saya dan rakan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan kes itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Usaha memburu suspek sedang dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top