London: Juara dunia Formula Satu (F1) dua kali, Fernando Alonso mengesahkan akan terus bersama Aston Martin untuk musim 2027, malah tidak menolak kemungkinan meneruskan kariernya lebih lama dalam saingan berprestij itu.
Pelumba Sepanyol berusia 45 tahun itu menandatangani lanjutan kontrak yang menyaksikan gandingannya bersama pelumba Kanada, Lance Stroll dikekalkan untuk musim 2027.
Perjanjian berkenaan bermakna Alonso, pelumba aktif paling berusia dalam F1, sekurang-kurangnya akan terus beraksi sehingga melepasi usia 46 tahun pada Julai tahun depan.
Alonso yang membuat penampilan sulung pada 2001 sudah mencatat rekod 440 perlumbaan F1 dengan 32 kemenangan.
Malah, bekas pelumba McLaren dan Ferrari itu memberi bayangan kariernya masih belum berakhir selepas 2027.
“Saya tidak fikir ini akan menjadi tahun terakhir saya dalam Formula Satu. Begitulah pandangan saya ketika ini.
“Saya kini mempunyai lebih banyak pengalaman dan lebih pandai menguruskan diri. Saya rasa saya boleh terus beraksi untuk beberapa tahun lagi,” katanya kepada akhbar sukan Sepanyol, AS.
Alonso yang menjulang gelaran dunia bersama Renault pada 2005 dan 2006 menyertai Aston Martin pada 2023 dan sudah mencatat lapan podium termasuk dua penamat di tempat kedua bersama pasukan itu.
Namun, musim ini menjadi cabaran besar buat Aston Martin apabila jentera mereka gagal memberikan saingan kompetitif selain berdepan masalah unit kuasa Honda.
Pasukan yang berpangkalan di Silverstone itu hanya mengumpul tiga mata selepas 15 pusingan, semuanya menerusi Alonso dan kini berada di tangga ke-10 daripada 11 pasukan.
Alonso sebelum ini turut menyuarakan rasa kurang senang terhadap jentera generasi baharu F1 dan unit kuasa hibrid yang memerlukan pendekatan pemanduan berbeza, terutama dari segi pengurusan tenaga.
Bagaimanapun, dia kekal yakin dengan pasukan teknikal Aston Martin yang diketuai pereka terkenal, Adrian Newey.
“Saya mengambil masa untuk membuat keputusan ini, tetapi perlumbaan adalah hidup dan minat saya. Saya tahu saya masih mempunyai kelajuan dan keazaman untuk bersaing di tahap tertinggi.
“Saya komited untuk jangka panjang bersama pasukan ini dan membantu kami mencapai kejayaan. Saya benar-benar percaya dengan apa yang sedang kami bina,” katanya.
Alonso turut menyifatkan Aston Martin seperti sebuah keluarga dan tidak menolak kemungkinan terus bersama pasukan itu walaupun tidak lagi berada di kokpit.
“Saya akan bersama Aston Martin untuk tempoh yang lama. Kita akan lihat dalam kapasiti apa. Sama ada di belakang stereng atau di luar kokpit, kita akan putuskan kemudian,” katanya.
Alonso sebelum ini turut mempertimbangkan cabaran lain seperti menyertai Rali Dakar atau kembali mencuba nasib dalam perlumbaan Indianapolis 500.
Menurutnya, usia bukan lagi faktor utama dalam menentukan masa depannya, sebaliknya motivasi dan keseronokan untuk terus berlumba.
“Usia bukan masalah. Ia mengenai motivasi, keseronokan dan apa yang masih boleh dicapai.
“Bersama keluarga dan anak saya, keutamaan sentiasa berubah. Perkara penting ialah apa yang berlaku di rumah, kesihatan yang baik, kebahagiaan dan keseimbangan keluarga. Itu jauh lebih penting daripada menduduki tempat ketujuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




