audreymd@nst.com.my
Georgetown: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini mengecam tindakan menghalang Presidennya Meenakshi Raman daripada memasuki Sarawak.
Meenakshi yang tiba di Lapangan Terbang Miri selepas menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur,
ditahan oleh pihak Imigresen Sarawak selepas mendarat pada 4.50 petang tadi.
Menurut SAM, kad pengenalan Meenakshi diambil di kaunter imigresen dan beliau ditanya sama ada terbabit dalam sebarang kes.
Kira-kira 15 minit kemudian, pegawai imigresen memaklumkan kepadanya bahawa satu laporan telah dibuat terhadapnya pada 21 Mei 2025.
Beliau juga ditanya sama ada menerima sebarang surat daripada pihak berkuasa Sarawak.
Setiausaha Kehormat SAM, Mageswari Sangaralingam dalam satu kenyataan berkata, Meenakshi tidak menerima sebarang surat, notis atau petunjuk awal bahawa beliau dilarang memasuki Sarawak.
Katanya, Meenakshi tidak akan menaiki penerbangan itu sekiranya beliau dimaklumkan mengenai sekatan sedemikian.
“Kami menganggap penolakan kemasukan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai keadilan prosedur.
“Meenakshi sebagai warganegara Malaysia dan presiden salah sebuah pertubuhan alam sekitar tertua di negara ini, dinafikan kemasukan tanpa dimaklumkan sebab-sebabnya atau diberi peluang untuk memberi penjelasan,” katanya.
Mageswari berkata, Meenakshi telah dibenarkan memasuki Sarawak pada 2024.
Untuk rekod, SAM beroperasi di Sarawak selama beberapa dekad dan mempunyai pejabat di Marudi, dengan tumpuan kepada masyarakat pribumi, petani serta nelayan, selain isu-isu yang membabitkan wilayah, mata pencarian dan alam sekitar mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




