Perkukuh asas saintifik: Eskayvie meterai MoA bersama UM bagi kajian kognitif dan kualiti tidur

Perkukuh asas saintifik: Eskayvie meterai MoA bersama UM bagi kajian kognitif dan kualiti tidur

Kuala Lumpur : Eskayvie Sdn Bhd (Eskayvie) memperluas usaha penyelidikan dan inovasinya menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Malaya (UM) bagi menjalankan kajian klinikal terhadap produk nutrisi minda keluaran syarikat itu, Mindtropic.

Kajian berkenaan bertujuan menilai keberkesanan formulasi lengkap Mindtropic dalam beberapa aspek utama merangkumi prestasi kognitif, daya tahan terhadap tekanan, fungsi sistem saraf autonomi dan kualiti tidur.

Langkah ini sekali gus memperkukuh asas saintifik produk tempatan serta meningkatkan keyakinan pengguna.

Majlis pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) berlangsung di Canseleri UM, dengan universiti itu diwakili oleh Naib Canselor, Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman manakala Eskayvie diwakili Pengarah Urusan, Datin Dr Kartika Wati Mohamed.

Hadir sama Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Penyelidikan & Inovasi Eskayvie, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri serta Duta Eskayvie, Datuk Aznil Haji Nawawi.

Menurut Dr Kartika Wati Mohamed, selepas 17 tahun bertapak, syarikat itu mahu terus meningkatkan mutu produk dengan menjadikan penyelidikan sebagai keutamaan.

“Melalui kerjasama dengan UM, kami mahu menilai formulasi lengkap Mindtropic secara klinikal bagi mendapatkan bukti saintifik yang lebih menyeluruh. Kepercayaan pengguna datang bersama tanggungjawab untuk terus mengutamakan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk,” katanya.

Kajian klinikal itu akan dilaksanakan di Clinical Investigation Centre (CIC), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengikut protokol serta piawaian penyelidikan yang ditetapkan.

Sementara itu, Dr Syid Ayob pula menjelaskan bahawa pembangunan Mindtropic mengambil kira hubungan antara fungsi kognitif, tindak balas tekanan dan kualiti tidur.

“Dalam menilai prestasi minda, kita bukan sahaja melihat kuasa ingatan, tetapi juga keupayaan menghadapi tekanan serta mendapatkan tidur yang berkualiti. Menerusi kajian ini, kami menilai keberkesanan gabungan bahan tersebut sebagai satu formulasi lengkap,” katanya.

Bagi pihak UM, Dr Noor Azuan menyambut baik kerjasama itu yang menggabungkan kepakaran saintifik universiti dengan inovasi industri untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada penubuhan Eskayvie Research & Innovation Centre, sebuah hab penyelidikan yang memberi tumpuan kepada kajian klinikal, pembangunan formulasi, pendidikan kesihatan awam dan penerokaan teknologi kesihatan baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top