Kecemerlangan berilmu tanpa etika tiada makna – PM Anwar

Kecemerlangan berilmu tanpa etika tiada makna – PM Anwar

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kepakaran dan kecemerlangan dalam sesuatu bidang perlu disertai nilai, etika serta keberanian menolak rasuah, ketirisan dan kebobrokan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan ilmu benar-benar memberi manfaat kepada negara dan masyarakat.

“Mana-mana negara atau tamadun tidak hanya berdiri dengan batu, besi ataupun angka-angka pertumbuhan saban tahun.

“Malah, ia dibangunkan juga oleh kalangan mereka yang berilmu, berprinsip dan menggarap setiap kepakaran yang datang bersama amanah.

“Justeru, memang kita digesa untuk mengejar dan menggapai kecemerlangan serta pengkhususan (specialization), namun ilmu yang membeku dalam ruang dogma akhirnya boleh kehilangan makna dan jiwa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, filasuf besar Ortega y Gasset mengingatkan betapa bahaya gejala ‘barbarism of specialization’, yakni ketika seseorang yang terlalu arif dalam satu bidang, tetapi menjadi asing dalam hal kesedaran terhadap permasalahan masyarakat dan kemanusiaan.

Justeru, beliau mengingatkan ikhtisas harus menemukan dirinya pada nilai.

“Kepakaran mesti bersanding dengan etika, kecemerlangan dengan ‘itqan fil amal’ dan profesionalisme dengan keberanian untuk menyatakan yang benar serta tegas menolak segala bentuk rasuah, ketirisan dan kebobrokan.

“Sementalahan, Malaysia tidak akan terangkat hanya kerana kita memiliki kalangan mereka yang pintar.

“Malaysia akan terangkat apabila kepintaran itu dipadukan dengan hikmah, apabila perbezaan kaum, agama dan wilayah tidak menjadi tembok yang memisah, tetapi menjadi tiang kekuatan yang menyempurnakan wajah dan seri sesebuah bangsa,” katanya.

Beliau berkata, Hari Ikhtisas Malaysia yang disambut pada 29 September setiap tahun harus bermakna lebih daripada penghargaan semata-mata.

Sebaliknya ia adalah suatu peringatan bahawa ilmu tidak semata jalan ke arah kecemerlangan, tetapi wahana untuk meninggikan martabat negara dan masa depan generasi yang bakal mewarisinya.

Beliau berkata, kecemerlangan profesional harus melangkaui kepakaran teknikal untuk merangkumi pemahaman mengenai masyarakat, keluarga, alam sekitar, dan dunia secara lebih luas.

“Bagaimana kita boleh bercakap mengenai profesionalisme apabila sikap perkauman yang sempit dan berakar umbi masih wujud?” katanya.

Anwar berkata, disebabkan kepakaran dan pengaruh, golongan profesional turut memikul tanggungjawab untuk bersuara menentang salah laku serta tadbir urus yang lemah.

Merujuk kepada kontroversi negara pada masa lalu, termasuk isu 1MDB dan Felda, beliau berkata tanggungjawab tidak boleh diletakkan semata-mata di bahu pemimpin politik semata-mata.

“Ya, pemimpin politik memang bertanggungjawab. Namun, golongan profesional juga tidak terkecuali,” katanya.

Beliau berkata, terdapat situasi yang mana ramai pihak sedar sesuatu sudah berlaku dengan salah, namun mereka kekal membisu walaupun negara menanggung kerugian besar.

“Ramai yang tahu, tetapi tidak dapat bersuara. Ramai antara mereka adalah golongan profesional terkemuka dalam bidang masing-masing.

“Ia satu lagi manifestasi kejahilan akibat pengkhususan (barbarism of specialisation) – apabila seseorang terlalu terikat dengan lingkungan profesional mereka sendiri sehingga gagal mendepani masalah yang memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Anwar turut menggesa golongan profesional untuk bertindak sebagai ejen pembaharuan dan pemangkin idea baharu kerana pengetahuan khusus meletakkan mereka pada kedudukan untuk menyumbangkan penyelesaian yang tidak tersedia bagi orang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top