am@hmetro.com.my
Bentong: Kunjungan sekumpulan 14 rakan ke Hutan Lipur Chamang, di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.
Mangsa, Mohd Aiman Nazmi Mohd Yusuf, 29, dari Felda Endau, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.29 tengah hari dan lapan anggota ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Pasukan tiba pada 2.11 petang dan dimaklumkan seorang lelaki lemas ketika datang ke kawasan berkenaan bersama 13 rakannya.
“Mangsa bersama kumpulan berkenaan yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita adalah dari Sungai Besi, Kuala Lumpur,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, mangsa dibawa naik oleh pegawai perhutanan kira-kira 20 meter dari lokasi hilang sebelum ketibaan pasukan.
Susulan itu, katanya, pasukan melakukan pemantauan di lokasi dan kematian mangsa disahkan petugas kesihatan yang hadir.
“Semua 13 rakan mangsa dilaporkan selamat. Mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




