lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Besar FELDA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 lot tanah milik badan berkanun itu, 12 tahun lalu.
Datuk Faizoull Ahmad, 66, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya yang memakai baju kemeja kelabu di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu Pengarah Besar FELDA didakwa memperdayakan Lembaga Pengarah FELDA dengan menyembunyikan secara tidak jujur fakta berhubung surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014.
Surat kuasa wakil berkenaan memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah milik FELDA yang terbabit dalam projek Cadangan Pembangunan Lot FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Perbuatan itu menyebabkan Lembaga Pengarah FELDA bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan, yang kemudiannya mengakibatkan tanah-tanah milik FELDA itu ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, di sini, pada 2 September 2014.
Faizoull didakwa melakukan kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




