Pusara Tun Dr Siti Hasmah terus jadi tumpuan

Pusara Tun Dr Siti Hasmah terus jadi tumpuan

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kesedihan masih menyelubungi Pusara Negara, Presint 20, di sini, apabila orang ramai terus hadir menziarahi pusara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, hari ini.

Seawal jam 8 pagi, orang ramai mula hadir membawa rasa hiba dan sebak untuk memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh yang banyak berjasa kepada negara itu.

Dalam suasana penuh sayu, pengunjung membaca Surah Yasin di sisi pusara Allahyarham, selain menyiram air mawar sebagai tanda kasih, penghormatan dan doa buat insan yang pergi buat selama-lamanya.

Ada yang berdiri dalam diam, menadah tangan berdoa, manakala sebahagian lagi meluangkan masa membaca ayat suci al-Quran di sisi pusara.

Kehadiran orang ramai berterusan pagi ini, menggambarkan rasa kehilangan dan penghormatan mendalam terhadap Allahyarham yang disemadikan di Pusara Negara.

Allahyarham Dr Siti Hasmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Allahyarham adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di situlah beliau bertemu Dr Mahathir sebelum mereka berkahwin pada 1956.

Beliau bukan aja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top