Penyampai berita Yasir, Khaty akhiri tugasan di Buletin Utama

Penyampai berita Yasir, Khaty akhiri tugasan di Buletin Utama

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas 23 tahun menjadi wajah yang menghiasi kaca televisyen menerusi slot berita waktu perdana, penyampai berita TV3, Yasir Mansor mengakhiri tugasan di Buletin Utama, malam tadi.

Walaupun tidak lagi muncul sebagai penyampai di hadapan kamera, Yasir berkata, beliau masih meneruskan kerjaya bersama Media Prima Berhad apabila bakal menggalas tugas sebagai editor.

“Walaupun hari ini (semalam) hari terakhir saya bersiaran di Buletin Utama, saya tidak akan ke mana-mana. Saya masih lagi berada di Media Prima sebagai seorang editor dan masih dalam industri penyiaran.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini membimbing saya termasuk pihak pengurusan dan bekas penyampai terdahulu yang menjadi mentor saya terutama sekali kepada semua penonton Buletin Utama dan TV3 yang sentiasa menonton dan menyokong kami,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Sementara itu, penyampai berita berkaliber TV3, Siti Khadijah Jaafar atau lebih dikenali sebagai Khaty turut menamatkan tugasan sebagai penyampai Buletin Utama selepas 11 tahun bersiaran.

Seperti Yasir, Khaty juga masih meneruskan khidmatnya bersama TV3, namun kini menggalas tanggungjawab sebagai Editor di Unit Berita Digital.

“Pertama sekali saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan TV3 dan ‘boss’ yang memberi peluang untuk saya bersiaran hari ini (semalam), genap 11 tahun menjadi suara yang menyampaikan maklumat berita penting kepada anda semua, penonton TV3.

“Saya mendoakan semua rakan penyampai yang lain terus berjaya dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Khaty turut memohon maaf kepada penonton sekiranya pernah tersasul atau melakukan kesilapan ketika bersiaran sepanjang 11 tahun menggalas tugas sebagai penyampai berita.

“Saya minta maaf kalau sepanjang bersiaran ini saya ada tersasul atau melakukan kesilapan.

“Saya mengharapkan agar anda semua terus memberikan sokongan kepada berita TV3. Sekali lagi, terima kasih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top