Azizulhasni lawan Beckham, Ronaldo di trek

Azizulhasni lawan Beckham, Ronaldo di trek

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan acara pecut individu lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini turut mencuri perhatian apabila dua nama pelumba India mengingatkan kepada ikon bola sepak dunia, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Lebih menarik, legenda berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal berentap dengan kedua-dua pelumba berkenaan apabila pusingan kelayakan berlangsung di Velodrom Izu, Shizuoka.

Dua pelumba India itu ialah David Beckham Elkatohchoongo dan Ronaldo Laitonjam Singh yang masing-masing membawa nama sama seperti bekas bintang England, David Beckham dan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo.

Kebetulan nama berkenaan sudah pasti mengundang perhatian, namun Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom perlu memberikan fokus sepenuhnya terhadap kayuhan masing-masing dalam saingan membabitkan 21 pelumba dari seluruh Asia itu.

Bagi Azizulhasni, saingan kali ini juga menjadi antara kemunculan pentingnya di pentas Sukan Asia selepas sekian lama menjadi sandaran utama negara dalam acara pecut dan keirin.

Shah Firdaus pula hadir dengan reputasi tersendiri selepas menjadi antara pelumba utama negara dalam acara pecut, sekali gus menjadikan dua wakil Malaysia itu antara perhatian utama dalam saingan hari ini.

Apa yang pasti, nama Beckham dan Ronaldo yang selama ini sinonim dengan padang bola sepak kini bakal ‘beraksi’ di atas trek, dengan Azizulhasni menjadi antara pelumba yang perlu berdepan kedua-dua nama unik berkenaan.

Selain dua wakil India itu, Azizulhasni dan Shah Firdaus turut akan bersaing dengan pelumba terbaik Asia lain dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya dan memburu peluang ke podium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top