LZS dan TNB bantu ibu tunggal penghantar makanan tular

LZS dan TNB bantu ibu tunggal penghantar makanan tular

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu tunggal yang juga individu autisme dan orang kurang upaya (OKU) fizikal, Nur Rahimah Alia Salehuddin, 44, terus mendapat perhatian apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil membantu selepas kisahnya mencari rezeki sebagai penghantar makanan tular.

LZS dalam kenyataan berkata, Nur Rahimah hampir lapan tahun bergelar ibu tunggal mengayuh basikal di sekitar Kajang dan Bangi bagi mencari nafkah untuk anaknya.

“Bantuan daripada LZS turut diterima bagi membantu keperluan keluarga dan pendidikan anaknya.

“Alhamdulillah, sejak tahun 2020 lagi pengeluar zakat membantu beliau menerusi Zakat Selangor.

“Syukurlah, sebuah basikal baharu disumbangkan oleh TNB membolehkan beliau kembali mengayuh,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, Nur Rahimah berkata, dia amat menghargai segala bantuan dan perhatian diberikan rakyat Malaysia selepas kisahnya tular.

“Saya sangat berterima kasih atas semua bantuan dan keprihatinan yang diberikan kepada saya.

“Saya hargai keprihatinan mereka (rakyat Malaysia), cuma saya tak sempat nak balas semua mesej yang diterima,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, beberapa pihak termasuk TNB sudah menghubunginya dan memaklumkan akan cuba membantu menyelesaikan urusannya.

Katanya, ketika ini dia berdepan masalah membuat bayaran pinjaman pelajaran secara konsisten sehingga menerima surat daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“PTPTN sudah keluarkan surat amaran sebab saya tertangguh membayar ansuran pinjaman pelajaran. Jadi, pihak TNB cuba membantu,” katanya.

Nur Rahimah berkata, dia turut menerima tawaran bantuan daripada beberapa individu dan pihak lain, namun tidak sempat membaca semua mesej yang diterima.

“Insya-Allah saya akan balas satu per satu,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Rahimah masih berharap dapat mengikuti kursus berkaitan bagi membolehkannya bekerja sebagai tutor Bahasa Inggeris.

Katanya, dia mahu mendapatkan sijil atau tauliah yang diperlukan sebelum mencari peluang pekerjaan berkenaan.

Nur Rahimah turut berharap orang ramai tidak menyalahgunakan perhatian diterimanya susulan kisahnya tular, termasuk menghantar mesej tidak senonoh.

Katanya, dia terkilan apabila ada pihak mengambil kesempatan terhadap video dirinya yang tersebar di media sosial.

“Saya sedih apabila kawan saya yang menegur perkara itu pula dikecam sehingga dia terpaksa memadam mesejnya.

“Niat kawan saya sebenarnya untuk menjaga aib saya, terutama selepas ada pihak menghantar mesej yang tidak sepatutnya,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, ketika kebanyakan penghantar makanan menggunakan motosikal, seorang ibu tunggal yang juga individu autisme dan orang kurang upaya (OKU) fizikal memilih berjalan kaki dan menunggang basikal menghantar pesanan demi mencari rezeki untuk anaknya.

Berkongsi kisahnya, Nur Rahimah Alia Salehuddin, 44, sudah biasa menggalas beg penghantaran sambil berjalan dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan pesanan pelanggan.

Biarpun ada ketikanya terpaksa berjalan sehingga kira-kira 20 kilometer, wanita itu tetap meneruskan pekerjaan berkenaan kerana sukar mendapatkan pekerjaan tetap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top