Ribuan penduduk hilang tempat tinggal akibat banjir di tenggara Ghana

Ribuan penduduk hilang tempat tinggal akibat banjir di tenggara Ghana

Accra: Limpahan Sungai Dayi di Perbandaran Hohoe, tenggara Ghana menyebabkan lebih 3,000 penduduk hilang tempat tinggal dan lebih 400 rumah terjejas, lapor Xinhua.

Ahli Parlimen Hohoe Thomas Worlanyo Tsekpo berkata hujan di beberapa kawasan di negara jiran Togo turut menyumbang kepada peningkatan paras banjir di perbandaran itu, walaupun hujan di Hohoe telah reda.

Beberapa komuniti di sepanjang sungai terjejas akibat banjir, dengan kawasan Zongo dilaporkan ditenggelami air, menyebabkan penduduk terpaksa berpindah.

“Hujan berterusan menyebabkan aliran air dari Togo bertemu dengan air hujan di Hohoe, sekali gus menyebabkan sungai melimpah dan mengakibatkan keadaan seperti yang kita lihat sekarang,” kata Tsekpo kepada media tempatan.

Sebahagian mangsa kini ditempatkan sementara di bangunan sekolah berdekatan sementara pihak berkuasa berusaha menyediakan pusat perlindungan yang lebih sesuai.

“Banjir itu menyebabkan lebih 3,000 penduduk hilang tempat tinggal, manakala lebih 700 mangsa kini ditempatkan sementara di bilik darjah,” katanya.

Tsekpo berkata keadaan masih belum stabil apabila paras air terus meningkat walaupun hujan lebat telah berhenti.

Beliau turut menggesa bantuan kecemasan berterusan disalurkan ketika pihak berkuasa berusaha menyediakan tempat perlindungan dan melindungi penduduk di kawasan terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top