PMKS dikecualikan kenaikan kadar gaji minimum baharu – Menteri

PMKS dikecualikan kenaikan kadar gaji minimum baharu – Menteri

SHAH ALAM – Kabinet bersetuju Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.

Keputusan tersebut dimaklumkan selepas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Steven berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan bergerak seiring peningkatan produktiviti.

“Saya telah membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini (Rabu). Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.

“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa.

“Matlamat kita jelas iaitu kebajikan pekerja terbela dengan gaji yang lebih wajar, sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka dinaikkan dan perinciannya bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Menurut Anwar, semakan dan kajian bagi pelarisan gaji minimum kini berada pada peringkat akhir sebelum diumumkan dalam pembentangan belanjawan di Dewan Rakyat.

Scroll to Top