Pemenang RM1 juta SSP BSN rancang bina surau pusat mengaji al-Quran

Pemenang RM1 juta SSP BSN rancang bina surau pusat mengaji al-Quran

hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: “Niat saya cuma satu untuk bina surau lebih sempurna bagi keselesaan kanak-kanak di sekitar Alor Senibong, Langgar, datang mengaji al-Quran,” kata Arbaai Mat Ali, 66.

Arbaai yang juga pesara kerajaan adalah pemenang Cabutan Jutawan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi Ogos 2026 yang berjaya membawa pulang hadiah RM1 juta.

Beliau yang sebelum ini bertugas sebagai Pembantu Rawatan Kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, tidak menyangka menjadi jutawan selepas mula menyimpan di SSP lebih 20 tahun lalu.

“Saya mula menyimpan di SSP secara kebetulan apabila menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2006 yang antara hadiahnya ketika itu adalah SSP BSN.

“Sejak itu saya kerap menambah simpanan SSP mengikut kemampuan, namun dalam tempoh sama apabila ‘sesak’ memang terpaksa keluarkan juga simpanan untuk kegunaan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu Arbaai bersama lima pemenang SSP BSN dari Kedah diraikan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid pada majlis yang diadakan di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Arbaai berkata, selepas bersara kira-kira enam tahun lalu, beliau ada membuka kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak di surau lama berdekatan rumahnya.

Namun, katanya, surau kayu itu berada dalam keadaan uzur sehingga ada bahagian yang dimakan anai-anai dan kemudahannya pula tidak sempurna.

“Saya kerap berdoa diberikan rezeki lebih kerana merancang membina surau baharu yang lebih sempurna untuk kegunaan kanak-kanak mengaji dan rezeki itu akhirnya datang melalui SSP BSN.

“Ketika ini, kerja meratakan tapak dan membina asas surau baru sudah saya mulakan dengan bantuan anak lelaki dan kami wakafkan surau ini untuk kegunaan orang kami bersama,” katanya.

Sementara itu, pemenang SSP BSN Cabutan Negeri Ogos 2026 yang menerima Perodua Myvi, Hariza Tajuddin, 56, berkata hadiah itu adalah yang terbesar pernah dimenanginya setakat ini.

Beliau yang juga pesara kerajaan yang menamatkan perkhidmatan sebagai jururawat di Hospital Yan dekat sini, Januari lalu, mengakui masih terkejut apabila dimaklumkan menjadi pemenang SSP pada awal bulan ini.

“Saya sebenarnya baru pulang menunaikan umrah apabila diberitahu menjadi pemenang kereta, ada kawan yang tiba-tiba ucapkan tahniah selepas melihat nama saya diumumkan.

“Kebetulan pula kereta lama saya mengalami kerosakan teruk kerana terbabit kemalangan pada Jun lalu, jadi hadiah ini adalah pengganti kepada ‘kehilangan’ yang berlaku sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top