kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mengenal pasti empat keutamaan utama bagi memperkukuh sistem persaraan negara, termasuk memastikan simpanan ahli dapat ditukar kepada pendapatan sepanjang hayat.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, empat perkara itu penting bagi memastikan sistem persaraan mampu menangani peningkatan jangka hayat, perubahan corak pekerjaan serta keperluan pendapatan rakyat selepas bersara.
Katanya, keutamaan pertama adalah mengubah pendekatan daripada menyimpan untuk persaraan kepada menyediakan pendapatan yang boleh bertahan sepanjang hayat.
“Cabaran yang kita hadapi sebagai sebuah sistem ialah bagaimana kita beralih daripada menyimpan untuk persaraan kepada mendapatkan pendapatan sepanjang hayat dan kita mesti membantu ahli menukar simpanan sepanjang hayat kepada aliran pendapatan yang boleh dipercayai dan bertahan selama mereka hidup.
“Saya suka ungkapan ini, hasil yang mereka inginkan ialah pendapatan, ‘outcome is income’,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keutamaan kedua adalah menutup jurang liputan perlindungan persaraan kerana ketika ini liputan KWSP hanya sekitar 60 peratus.
Katanya, sebahagian pekerja termasuk dalam sektor tidak formal, pekerja harian, pekerja lebih berusia dan wanita yang tempoh kerjayanya terjejas akibat tanggungjawab penjagaan masih tidak mendapat perlindungan mencukupi.
“Menutup jurang ini memerlukan intervensi yang penting di mana keutamaan ketiga adalah memastikan KWSP terus bersama ahli sepanjang kitaran kehidupan dan bukan hanya ketika mereka menghampiri persaraan, termasuk melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam aspek kesihatan, perumahan dan penjagaan warga emas,” katanya.
Beliau berkata, sebarang perubahan terhadap sistem juga perlu dilaksanakan secara berperingkat dan telus bagi memastikan keyakinan serta kepercayaan awam terus terpelihara.
“Keempat dan terakhir, kita perlu terus memperjuangkan reformasi pasaran buruh yang menghasilkan gaji lebih baik untuk pekerja Malaysia.
“Bahagian keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang disalurkan kepada tenaga buruh masih terlalu rendah berbanding banyak negara lain dan keadaan ini mempunyai pelbagai kesan susulan,” katanya.
Ahmad Zulqarnain berkata, peningkatan jangka hayat perlu dilihat sebagai peluang untuk membolehkan rakyat kekal sihat, produktif dan terus terbabit dalam masyarakat untuk tempoh lebih panjang, termasuk selepas usia persaraan formal.
Katanya, pengalaman beberapa negara seperti Jepun, Australia dan Singapura menunjukkan tiada satu formula khusus untuk menangani masyarakat menua, sebaliknya setiap negara membangunkan pendekatan berdasarkan keperluan rakyat, institusi dan keadaan masing-masing.
“Kesihatan, kemahiran dan keselamatan kewangan dibina sepanjang hayat dan lebih awal kita membuat persediaan, lebih besar keupayaan kita untuk membentuk kehidupan yang kita inginkan,” katanya.
Beliau berkata, sistem persaraan negara perlu terus berkembang bagi memperkukuh aspek liputan, kecukupan simpanan, kesaksamaan dan kemampanan pendapatan persaraan dalam tempoh hayat yang semakin panjang.
Selain itu, beliau berkata tanggungjawab menyediakan kehidupan yang lebih baik dalam tempoh usia yang panjang tidak boleh dipikul kerajaan atau KWSP semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama individu, keluarga, majikan, komuniti dan kerajaan.
Katanya, kerajaan perlu memainkan peranan lebih besar khususnya dalam penjagaan jangka panjang dan keselamatan pendapatan asas, manakala individu perlu membuat persediaan lebih awal, menabung secara konsisten dan membuat keputusan berdasarkan maklumat.
“Majikan juga mempunyai peranan melalui gaji yang dibayar, fleksibiliti yang disediakan dan peluang yang diwujudkan supaya pekerja lebih berusia dapat terus aktif dalam ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat menua juga memerlukan pendekatan lebih menyeluruh merangkumi kesihatan, penjagaan, pekerjaan, kawasan kejiranan, infrastruktur, sistem penjagaan kesihatan, sistem digital dan komuniti.
“Tujuan hidup mungkin antara ubat paling berkuasa yang kita sudah ada, malah peningkatan jangka hayat memberi kita lebih banyak tahun untuk mencari tujuan, menyumbang dan menjalani kehidupan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, KWSP akan terus menyediakan pandangan dan kepimpinan pemikiran dalam perkara berkenaan, namun usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan reformasi yang diperlukan dapat dilaksanakan untuk generasi semasa dan akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




