am@hmetro.com.my
Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa memantau perkembangan New Age Movement (NAM) di negeri ini bagi mengesan dan mengekang sebarang usaha penyebaran ajaran terbabit.
Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pemantauan dilakukan jawatankuasa berkaitan dan pihaknya masih menunggu pengesahan berkaitan maklumat yang diperoleh sebelum sebarang perkembangan boleh dikongsikan kepada umum.
“Buat masa ini, ada pemantauan dilakukan pihak kami bagi mengekang perkara itu, namun perincian belum dapat didedahkan.
“Belum ada berita yang boleh dikongsikan lagi. Sekiranya mendapat pengesahan, kami akan kongsikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penghargaan Rakan Media dan Pelancaran Affin Bank sebagai Rakan Strategik MAIS 2026, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada terdapat kelompok tertentu yang sudah berada dalam radar MAIS, beliau enggan memperincikan perkara berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan menyiasat dakwaan mengenai kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa mengikut ajaran dibawa fahaman NAM.
Bahkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menegaskan, pihaknya memberi perhatian mengenai isu tersebut dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk menanganinya.
Isu berkaitan ajaran NAM menjadi perhatian hangat susulan dakwaan pembabitan tokoh politik dalam program yang mengandungi unsur gerakan terbabit, yang membawa kepada sesi tabayyun (penjelasan) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pada masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, menafikan dakwaan beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Marhamah berkata, beliau mengambil perhatian serius persoalan dan kebimbangan dibangkitkan masyarakat berkaitan dakwaan mengaitkannya dengan NAM.
Tegasnya, beliau menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam, termasuk mana-mana unsur NAM yang bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, MAIS dan Affin Islamic Bank Berhad menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi memperkukuhkan pengurusan harta masyarakat Islam di seluruh negara.
Menerusi kerjasama itu, maklumat berkaitan wasiat, hibah, harta pusaka dan perkhidmatan berkaitan dapat disampaikan secara lebih meluas, mudah difahami serta mudah diakses oleh masyarakat.
Ia turut merangkumi usaha meningkatkan perancangan harta yang berkesan melalui pendaftaran wasiat, hibah secara digital dan pembayaran fidyah, kaffarah dan sumbangan infak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




