Jurutera warga Afghanistan lemas ketika menyelam di Pulau Tioman

Jurutera warga Afghanistan lemas ketika menyelam di Pulau Tioman

am@hmetro.com.my

Rompin: Seorang jurutera warga Afghanistan lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan berhampiran Kampung Salang, di Pulau Tioman, di sini, jam 11 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Mohammed Seyar Musazay, 55, melakukan aktiviti itu bersama anak perempuannya yang berusia 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dan anaknya melakukan aktiviti itu di bawah pengawasan jurulatih selam skuba.

Menurutnya, sebelum memulakan aktiviti itu, dua beranak terbabit diberi taklimat mengenai teknik penggunaan peralatan selam skuba.

“Selepas taklimat, mereka ke tepi laut untuk menggunakan peralatan selam skuba itu dan pada peringkat awal melakukan aktiviti itu, mangsa dilaporkan dalam keadaan baik.

“Ketika aktiviti selaman di paras kedalaman tiga meter itu hampir selesai, jurulatih membantu membawa anak perempuan mangsa ke permukaan laut.

“Bagaimanapun, ketika itu, jurulatih ternampak mangsa terkapai-kapai manakala peralatan pernafasan dimulutnya tertanggal,” katanya pada kenyataan.

Sharif Shai berkata, jurulatih berkenaan kemudiannya menghampiri mangsa namun lelaki terbabit didapati sudah tidak sedarkan diri.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia, jam 12.40 tengah hari.

Katanya, mangsa bertugas di California, Amerika Syarikat.

“Mangsa hanya datang ke Pulau Tioman untuk bercuti bersama anaknya selama lapan hari sejak 26 September lalu,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk bedah siasat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top