Gadai barang kemas palsu 23 gram, 5 termasuk warga emas ditahan

Gadai barang kemas palsu 23 gram, 5 termasuk warga emas ditahan

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Perbuatan lima individu yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan menggadai barang kemas palsu mengundang padah selepas mereka ditahan polis di Kota Tinggi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pada jam 1.58 tengah hari semala pihaknya menerima laporan daripada pengurus kedai pajak gadai mendakwa menerima seutas gelang emas dianggarkan seberat 23 gram yang dianggarkan bernilai RM13,000 mengikut harga pasaran daripada seorang individu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati gelang emas itu adalah palsu dan bertindak atas maklumat, anggota dari Balai Polis Sungai Rengit berjaya menahan lima individu.

“Suspek berusia 34 hingga 62 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga asing.

“Semakan mendapati seorang suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, dua lagi suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik.

Menurutnya, polis yakin penahanan kesemua suspek dapat membantu siasatan beberapa kes berkaitan pemajakan atau penjualan emas palsu yang berlaku di sekitar Kota Tinggi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengar sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda.

Semua suspek direman tiga hari hingga 2 Oktober bagi membantu siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top