Perluas Internet pedalaman: PM Anwar bincang kukuh kerjasama dengan SpaceX

Perluas Internet pedalaman: PM Anwar bincang kukuh kerjasama dengan SpaceX

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usaha memperkukuh kerjasama melalui perkhidmatan Internet satelit Starlink bagi meluaskan capaian kualiti di kawasan pedalaman menjadi tumpuan perbincangan utama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan delegasi syarikat itu di sini, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan menghargai peranan yang dimainkan SpaceX dalam menyokong agenda meluaskan liputan menerusi pelan JENDELA, khususnya bagi manfaat penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

“Saya turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat daripada delegasi SpaceX di Putrajaya hari ini.

Pada pertemuan itu, SpaceX menyumbangkan 50 unit kit Starlink untuk menyokong kesiapsiagaan bencana negara.

Anwar berkata, kemajuan teknologi mesti membawa manfaat yang nyata kepada rakyat.

“Seiring peluasan capaian Internet, keselamatan siber, perlindungan data serta penggunaan Internet yang selamat mesti terus diberi keutamaan.

“Kita mahu memastikan masyarakat di pedalaman turut menikmati capaian Internet yang berkualiti dan selamat supaya mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top