Razali beri bayangan tinggalkan BERSATU, pilih 'wadah baharu'

Razali beri bayangan tinggalkan BERSATU, pilih 'wadah baharu'

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris memberi bayangan akan melepaskan keahliannya dalam parti itu selepas mengumumkan bakal bergerak ke hadapan menggunakan ‘wadah baharu’.

Perkembangan itu berlaku tidak sampai dua bulan selepas beliau melepaskan jawatannya sebagai Ketua BERSATU Terengganu pada 8 Ogos lalu.

“Sepuluh tahun sebagai pemimpin BERSATU berakhir hari ini.

“Insya-Allah, saya akan bergerak ke hadapan dengan wadah baharu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun, Razali tidak mendedahkan punca beliau bertindak meninggalkan BERSATU, mahupun memperincikan parti atau platform politik yang bakal disertainya.

Bulan lalu, Razali menegaskan beliau masih kekal sebagai ahli BERSATU biarpun melepaskan jawatan sebagai teraju parti itu di peringkat negeri Terengganu.

Beliau sebelum ini turut menafikan spekulasi kononnya menyertai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top