hafidzul@hmetro.com.my
Ampang Jaya: Dua beradik remaja perempuan dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Lembah Jaya Utara, di sini, secara berasingan pada 26 dan 27 September lalu.
Kehilangan kedua-dua remaja berkenaan, Syazana Qurratu Aini Zulhazmi, 17, dan adiknya, Nur Qistina Fhatanah, 16, disedari oleh ibu mereka yang mendakwa kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah sehingga ke hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, anak sulung iaitu Syazana Qurratu Aini, pada awalnya keluar makan bersama rakannya di kawasan berdekatan pada 8 malam 26 September lalu, namun tidak pulang ke rumah.
“Keesokan harinya (27 September), pada 9 pagi, anak kedua iaitu Nur Qistina Fhatanah memberitahu ibunya bahawa dia mahu ke karnival sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas, namun sehingga laporan polis dibuat, kedua-duanya masih belum pulang.
“Berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa mengesyaki punca kedua-dua anaknya itu keluar dari rumah adalah kerana mahukan kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai ciri-ciri fizikal mangsa, beliau berkata, Syazana Qurratu Aini mempunyai ketinggian 159 sentimeter (sm) dengan berat 45 kilogram (kg) serta berkulit cerah.
Adiknya, Nur Qistina Fhatanah, dianggarkan mempunyai ketinggian 155 sm, berat 45 kg dan berkulit hitam manis.
Lokasi terakhir kedua-dua remaja ini dilihat adalah di sekitar Lembah Jaya Utara.
Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat supaya segera tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan.
“Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu itu untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
“Mereka juga boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Afizah Zainal di talian 017-2185192,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




