Syihan kebal, Harimau Malaya dahului Singapura 2-0

Syihan kebal, Harimau Malaya dahului Singapura 2-0

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Bandung: Harimau Malaya berada dalam landasan terbaik untuk menamatkan kempen Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 apabila mendahului Singapura 2-0 pada separuh masa pertama aksi terakhir di Stadium Si Jalak Harupat, di sini sebentar tadi.

Anak buah Tan Cheng Hoe bermula cukup agresif apabila memperoleh sepakan penalti seawal minit ketiga selepas Fergus Tierney dijatuhkan Ryhan Stewart dalam kawasan penalti.

Pengadil dari Korea Selatan, Kim Jing Hyeok kemudian membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum mengesahkan sepakan penalti untuk Malaysia, yang disempurnakan Bergson da Silva bagi meletakkan Harimau Malaya di depan 1-0.

Namun, kelebihan itu hampir lebur apabila Singapura segera meningkatkan tekanan dan mencipta peluang terbaik pada minit ke-14 menerusi Song Ui-yong.

Pemain berjersi nombor tujuh itu melakukan larian solo sebelum mengelecek pertahanan Malaysia dan melepaskan rembatan, namun Syihan Hazmi muncul sebagai penyelamat apabila penjaga gol Harimau Malaya itu tangkas menepis percubaan berkenaan.

Seminit kemudian, Malaysia pula hampir menggandakan kelebihan apabila Arif Aiman Hanapi melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, tetapi percubaannya sekadar melambung melepasi palang.

Singapura terus mengasak dan Kyoga Nakamura sekali lagi menguji Syihan menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-20, namun penjaga gol Malaysia itu sekali lagi cemerlang menepis percubaan berkenaan.

Ketika Singapura cuba mencari jalan untuk kembali dalam permainan, Harimau Malaya menghukum mereka dengan gol kedua pada minit ke-26 menerusi Stuart Wilkin.

Gol itu terhasil selepas Manuel Hidalgo melakukan gelecekan cantik melepasi tiga pemain Singapura sebelum melepaskan hantaran yang disudahkan dengan mudah oleh Wilkin untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Syihan sekali lagi memastikan gawang Malaysia terus kebal pada minit ke-33 apabila menafikan percubaan Harhys Stewart menerusi satu lagi aksi menyelamat.

Ketika memasuki tempoh masa tambahan separuh masa pertama, Arif Aiman hampir menambah gol buat Malaysia namun rembatannya dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol lawan Izwan Mahbub.

Separuh masa pertama tamat menyaksikan Malaysia mengekalkan kelebihan dua gol mengatasi Singapura.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top