Marriott, IOIPG meterai empat projek hotel baharu

Marriott, IOIPG meterai empat projek hotel baharu

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dan Marriott International Inc. memperluaskan kerjasama strategik menerusi pembangunan empat hotel baharu di Malaysia membabitkan keseluruhan 888 bilik, sekali gus mengukuhkan portfolio hospitaliti kedua-dua syarikat di negara ini.

Empat projek berkenaan ialah The Ritz-Carlton, Putrajaya; W Langkawi; Aloft by Marriott Sepang dan Aloft by Marriott Johor Bahru Plentong, yang merangkumi segmen hotel mewah, resort dan perkhidmatan terpilih.

Perjanjian terbaharu berkenaan meneruskan hubungan sedia ada antara Marriott dan IOIPG.

Ketika ini, Marriott menguruskan tujuh hartanah milik IOIPG di Malaysia menerusi tujuh jenama.

Presiden Marriott International Asia Pasifik (kecuali China), Rajeev Menon berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi kumpulan, manakala hubungan jangka panjang dengan IOIPG membolehkan Marriott memperluaskan portfolio merentasi pelbagai jenama dan destinasi.

“Projek-projek ini mencerminkan keyakinan bersama kami terhadap pertumbuhan jangka panjang sektor hospitaliti Malaysia serta komitmen untuk bekerjasama dengan pemilik yang dipercayai bagi membawa jenama dan pengalaman yang bersesuaian ke destinasi yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh.

“Daripada resort mewah dan hotel bandar kepada tawaran perkhidmatan terpilih, kami berharap dapat terus memperkukuh kehadiran kami di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties, Datuk Lee Yeow Seng berkata, hubungan syarikat dengan Marriott International mencerminkan visi bersama untuk mewujudkan tawaran hospitaliti yang melengkapi pembangunan dan bandar bersepadu milik kumpulan.

Selain itu katanya, ia juga mewujudkan nilai serta impak sosioekonomi kepada komuniti dan pihak berkepentingan yang dilayan.

“Pemeterian perjanjian bagi empat hotel ini mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemilik utama dalam sektor hospitaliti kerana ia akan menjadikan jumlah hotel milik kumpulan yang kini dan akan diuruskan oleh Marriott International kepada 15 hotel.

“Daripada jumlah itu, sembilan hotel sedia ada telah mula beroperasi, manakala empat hotel baharu ini, bersama The Westin Puchong yang ditandatangani pada 30 Julai 2026 serta W Singapore – Marina View, dijangka menyiapkan pembinaan masing-masing secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, IOIPG menyasarkan untuk memperluaskan segmen hospitalitinya kepada 4,648 bilik hotel menjelang 2032, merangkumi operasi di Malaysia, Singapura dan Republik Rakyat China.

Pengembangan berkenaan dijangka terus memperkukuh kedudukan IOIPG sebagai pemain hartanah serantau, selain memperluaskan jejak perniagaannya dalam sektor hospitaliti.

 

Scroll to Top