Perkhidmatan MYEG sebagai Ejen Pemungut JPJ digantung mulai 5 Oktober

Perkhidmatan MYEG sebagai Ejen Pemungut JPJ digantung mulai 5 Oktober

PUTRAJAYA – Perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digantung berkuat kuasa pada 5 Oktober ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

“Selaras dengan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober 2026,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, menurutnya, JPJ memberi jaminan urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.

Bagi pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), urusan boleh dilakukan di kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ bagi persendirian dan e-hailing, Portal Awam JPJ bagi persendirian dan e-hailing, Kios JPJ bagi persendirian, Kaunter Mobile JPJ bagi persendirian dan perdagangan, Pejabat Pos bagi persendirian serta Puspakom bagi persendirian dan perdagangan kategori De-controlled.

Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (CDL) pula boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ, Kaunter Mobile JPJ dan Pejabat Pos.

Bagi permohonan Lesen Memandu Malaysia (LDL), orang ramai boleh berurusan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ dan Kaunter Mobile JPJ.

Semakan dan pembayaran saman boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, Kios JPJ dan Kaunter Mobile JPJ.

Sementara itu, urusan pertukaran hak milik boleh dilakukan melalui kaunter JPJ, Kios JPJ bagi motosikal persendirian individu warganegara, Portal Awam JPJ bagi persendirian individu warganegara dan persendirian syarikat serta Syarikat eAuto melalui Sistem Tukar Hak Milik Sementara dan eSerahan Tukar Hak Milik.

Bagi tempahan Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum tarikh kuat kuasa, iaitu 5 Oktober 2026, tempahan berkenaan masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober 2026, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia.

Bagi pembayaran saman membabitkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia–Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

JPJ turut menegaskan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan diteruskan serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti.

 

 

 

 

 

Scroll to Top