Yu-ting bangkit selepas kontroversi dunia tinju

Yu-ting bangkit selepas kontroversi dunia tinju

Nagoya: Lin Yu-ting dari Taiwan meraih pingat emas tinju Sukan Asia malam tadi, dua tahun selepas terbabit dalam kontroversi kelayakan jantina pada Sukan Olimpik.

Yu-ting menewaskan Yang Chengyu dari China 5-0 pada final 60 kilogram wanita untuk meraih emas Sukan Asia keduanya selepas menjuarai kategori 57kg tiga tahun lalu.

Yu-ting memberitahu AFP sebelum temasya itu bahawa dia pernah mempertimbangkan untuk bersara selepas memenangi emas pada Sukan Olimpik Paris 2024, namun memilih untuk terus bertinju bagi membuktikan kepada mereka yang mempersoalkan kelayakannya.

Selepas kemenangan di Nagoya, Yu-ting berkata dia sudah “menunggu detik apabila cahaya menembusi kegelapan”.

“Ia benar-benar bukan sesuatu yang mudah.

“Jarang untuk akhirnya sampai ke tahap apabila anda dapat melihat fajar, dan saya sangat bersyukur kepada diri sendiri kerana berjaya melaluinya,” katanya.

Yu-ting dan Imane Khelif dari Algeria terbabit dalam kontroversi besar berkaitan jantina pada Sukan Olimpik 2024, dengan Donald Trump, Elon Musk dan penulis JK Rowling antara individu yang turut menyuarakan pandangan mengenai isu berkenaan.

Kedua-dua peninju itu disingkirkan daripada Kejohanan Dunia 2023 oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) selepas badan berkenaan mendakwa mereka gagal ujian kelayakan jantina yang tidak diperincikan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan mereka bertanding di Paris dan menyifatkan keputusan IBA sebagai “keputusan mengejut dan sewenang-wenangnya” terhadap kedua-dua peninju itu. Kedua-duanya kemudian memenangi pingat emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top