4,600 pelajar berentap pada Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026

4,600 pelajar berentap pada Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026

bhnews@bh.com.my

Ayer Keroh: Penyertaan lebih 4,600 pelajar, meningkat 50 peratus berbanding tahun lalu, menjadikan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026 mencatat rekod tertinggi sepanjang penganjurannya yang kini memasuki edisi ke-29.

Lapan sekolah terbaik dari seluruh negara melayakkan diri ke peringkat akhir kebangsaan di Melaka untuk merebut gelaran juara kategori menengah rendah dan menengah atas.

Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh, berkata peningkatan penyertaan membuktikan sambutan positif pelajar terhadap pertandingan yang bukan sahaja mengetengahkan kemahiran memasak, malah mengembangkan kreativiti dan potensi diri.

Katanya, pertandingan dengan sokongan dan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan (KPM) itu turut menjadi platform membentuk generasi muda yang lebih yakin, kreatif serta mempunyai pengetahuan berkaitan pemakanan dan kemahiran memasak.

“Sejak Mei lalu, pertandingan ini menjelajah ke 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan sebelum menghimpunkan finalis terbaik di peringkat kebangsaan.

“Pelajar bukan sahaja belajar menghasilkan hidangan, malah turut didedahkan kemahiran merancang, membuat keputusan, bekerjasama dan menggunakan sumber secara bijak yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada peringkat akhir kebangsaan pertandingan itu di sini, baru-baru ini.

Menurut Ivy, kemahiran memasak adalah kemahiran hidup penting, selain membantu generasi muda membina keyakinan di dapur.

“Pertandingan ini turut mendedahkan pelajar kepada konsep Pinggan Sihat Malaysia, iaitu Suku-Suku-Separuh, yang perlu diterapkan dalam penyediaan hidangan, sekali gus memupuk tabiat pemakanan sihat sejak usia muda.

“Pada masa sama, peserta digalakkan mengenali dan menghargai cita rasa tempatan dengan meneroka kreativiti serta teknik masakan moden tanpa mengetepikan warisan makanan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sukan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM, Ahmad Haridan Mohammad, berkata penganjuran pertandingan membuktikan komitmen berterusan KPM menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, bermakna dan relevan.

Katanya, pertandingan itu turut mengasah kemahiran kehidupan seperti kerja berpasukan, pengurusan masa, penyelesaian masalah dan pengurusan sumber secara berhemah.

“Pada tahun ini, pertandingan ini buat julung kalinya mengintegrasikan elemen literasi kewangan selaras dengan Strategi Nasional Literasi Kewangan 2026-2030.

“Murid bukan sahaja dinilai berdasarkan kreativiti dan kualiti masakan, malah keupayaan merancang bajet, mengira kos serta membuat pilihan secara bijak,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu turut memberi pendedahan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khususnya bidang kulinari, bagi membantu murid mengenal pasti minat, bakat dan potensi diri sebagai panduan menentukan laluan pendidikan serta kerjaya.

Johan kategori menengah atas, Nur Ellisa Balqis Saiful dan pasangannya, Hannah Jasmine Zakaria dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Johor Bahru, berkata peluang mewakili negeri ke peringkat kebangsaan menjadi pengalaman bermakna.

“Selain meningkatkan kemahiran memasak, saya belajar kepentingan bekerja dalam pasukan dan menjadi lebih yakin dengan diri sendiri. Ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Bagi kategori menengah rendah, SMK Mahsuri, Kedah muncul juara menerusi gandingan Muhammad Ammaruddin Jasni dan Adil Zikry Mohd Noor Izhham, diikuti SMK Taman Medan, Selangor sebagai naib johan.

Tempat ketiga hingga kelima masing-masing dimenangi SMK Bentong, Pahang; SMK Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dan SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Kategori menengah atas pula menyaksikan SMK Mutiara Rini, Johor muncul juara, diikuti SMK Seri Bemban, Melaka; Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya; SMK Elopura II, Sabah dan SMK Raja Permaisuri Bainun, Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top