Kehilangan 43 pelajar perguruan selepas 12 tahun, temui petunjuk baharu

Kehilangan 43 pelajar perguruan selepas 12 tahun, temui petunjuk baharu

MEXICO CITY – Selepas 12 tahun, siasatan kehilangan 43 pelajar Institut Latihan Perguruan Luar Bandar Ayotzinapa di Mexico memasuki fasa baharu, apabila pihak berkuasa pada 28 September lalu mengumumkan penemuan hasil siasatan terkini, termasuk pengenalpastian 17 suspek serta penemuan serpihan tulang dan gigi manusia.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan beberapa hari selepas ribuan keluarga dan penyokong menyertai perarakan di Mexico City bagi memperingati ulang tahun ke-12 kehilangan pelajar berkenaan dan menuntut keadilan.

Pendakwa khas kes Ayotzinapa, Mauricio Pazarán berkata, analisis semula rekod telefon dan dokumen lama menggunakan kaedah teknikal serta saintifik membolehkan penyiasat mengenal pasti corak komunikasi yang sebelum ini tidak dikesan.

Analisis itu membawa kepada 17 individu baharu yang kini menjadi sasaran siasatan.

Penyiasat turut membina semula hubungan komunikasi antara anggota kumpulan jenayah terancang Guerreros Unidos, polis, pegawai awam dan individu yang mempunyai kaitan dengan rumah mayat.

Dalam pencarian berkaitan rangkaian rumah mayat di Iguala, Guerrero, pihak berkuasa menemukan tulang paha manusia, senjata api, dokumen serta ketuhar pembakaran mayat yang tidak berdaftar.

Pemeriksaan lanjut antara Mac hingga Jun tahun ini turut menemukan ratusan serpihan tulang, prostesis gigi dan bahan biologi. Kesemua bahan berkenaan masih dianalisis bagi menentukan identiti dan kaitannya dengan individu yang hilang.

Kes 43 pelajar itu bermula pada malam 26 September 2014 apabila mereka dalam perjalanan dari Guerrero menuju Mexico City untuk menyertai satu tunjuk perasaan.

Mereka dihentikan polis di Iguala sebelum siasatan mendapati mereka dipercayai diserahkan kepada kumpulan Guerreros Unidos.

Siasatan terbaharu turut menguatkan hipotesis bahawa sebahagian pelajar mungkin pernah dibawa ke pusat tahanan polis perbandaran Iguala, berdasarkan jejak penggunaan telefon bimbit milik beberapa mangsa selepas kehilangan mereka.

Pihak berkuasa juga mengenal pasti seorang individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu tetapi baru dikenal pasti melalui semakan semula dokumen.

Individu berkenaan berusia 14 tahun ketika kejadian dan keterangannya pada Julai lalu membantu mengukuhkan siasatan terhadap anggota Guerreros Unidos.

Dalam perkembangan lain, bekas Gabenor Guerrero, Ángel Aguirre, ditahan pada 6 Ogos 2026 berhubung dakwaan kehilangan paksa 43 pelajar itu selepas siasatan baharu meneliti usaha menyembunyikan rakaman kamera keselamatan pada malam kejadian.

Setakat ini, hanya tiga daripada 43 pelajar berjaya dikenal pasti melalui penemuan mayat atau serpihan manusia. Seramai 168 individu pula sedang melalui proses perundangan berkaitan kes itu, termasuk 130 yang berada dalam tahanan.

Kerajaan Mexico menegaskan pencarian masih menjadi keutamaan, dengan siasatan diteruskan bagi merungkai nasib kesemua 43 pelajar serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. – Agensi

Scroll to Top