sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Gandingan padel negara, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus membuktikan tiada apa yang mustahil apabila keberanian dan kesungguhan membawa mereka meraih pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kejayaan itu hadir di luar jangkaan selepas kedua-dua pemain daripada latar belakang sukan berbeza hanya menjalani latihan bersama secara intensif selama empat bulan sebelum temasya bermula.
Christian, bekas pemain tenis kebangsaan, bergandingan dengan Aidan yang pernah mewakili negara dalam skuasy remaja, sebelum mereka mara ke final acara padel lelaki, sekali gus melepasi sasaran awal untuk ke separuh akhir.
Bagaimanapun, mereka terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada gandingan Qatar, Mashari Naif dan Rashed Naif, 3-6, 1-6 dalam tempoh 55 minit pada aksi final, semalam.
Christian menyifatkan pencapaian itu sebagai impian yang menjadi kenyataan, selain menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai permulaan untuk mereka memburu pencapaian lebih tinggi, terutama pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
“Saya berkata kepada Aidan, ini bukan pengakhiran, sebaliknya baru permulaan. Kami tidak sabar untuk menghadapi Sukan SEA tahun depan di Malaysia dan mahu pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui.
Aidan pula mengakui mereka tidak menyangka mampu melangkah ke final, namun berharap pencapaian itu dapat membantu mengembangkan sukan padel di Malaysia.
“Saya tidak menyangka kami boleh berada pada kedudukan ini. Apa yang kami lakukan untuk padel Malaysia diharap akan memberikan kesan untuk tempoh yang lama. Kami mahu melihat sukan ini terus berkembang,” katanya.
Dia turut menghargai perjalanan bersama Christian, yang bermula ketika mereka masih aktif dalam sukan masing-masing sebelum berganding dalam padel.
“Saya amat bersyukur dengan perjalanan yang kami lalui, bukan hanya sepanjang empat bulan berlatih bersama, tetapi sejak kami mula mengenali satu sama lain ketika dia masih bermain tenis dan saya pula bermain skuasy.
“Saya sangat menghargai pengalaman ini dan peluang beraksi bersama Christian,” katanya.
Lebih menarik, Aidan mendedahkan dia meninggalkan skuasy remaja kira-kira tiga tahun lalu sebelum beralih kepada padel, yang akhirnya membawanya ke pentas Sukan Asia.
“Saya meninggalkan skuasy remaja tiga tahun lalu dan kini saya berada di sini dengan pingat perak Sukan Asia. Saya juga baru menamatkan pengajian tahun lalu, jadi agak sukar dipercayai apabila mengenangkan pencapaian ini.
“Kepada atlet muda yang mempunyai impian, teruskan usaha dan jangan pedulikan pandangan negatif orang lain. Beranikan diri untuk mencuba kerana tiada apa yang mustahil,” katanya.
Kedua-dua pemain turut mendedikasikan kejayaan itu kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dari tanah air mahupun yang hadir menyaksikan perlawanan mereka, selain ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan Persatuan Padel Malaysia.
Aidan berkata sokongan keluarga serta semua pihak yang terbabit banyak membantu mereka mencapai kejayaan itu.
“Pingat ini saya dedikasikan kepada ibu bapa yang sentiasa menjadi tonggak dan memberikan sokongan sejak saya dilahirkan, selain rakan-rakan, keluarga besar dan semua yang terbabit dalam Persatuan Padel Malaysia.
“Mereka mencurahkan begitu banyak masa, tenaga dan sokongan untuk membolehkan kami berada di sini,” katanya.
Christian turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang mempercayai kemampuan mereka, sambil berharap kejayaan itu dapat menyuntik inspirasi kepada mereka yang masih mengejar impian.
“Kejayaan ini untuk semua rakyat Malaysia, kepada mereka yang mempercayai kami dan sesiapa sahaja di luar sana yang mempunyai impian. Kami akan terus berusaha untuk membanggakan Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




