MSN wajar pertimbang gandingan padel negara

MSN wajar pertimbang gandingan padel negara

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Persatuan Padel Malaysia (MPA) memohon Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan gandingan negara, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus, serta beberapa pemain lain untuk disenaraikan dalam Program Podium bagi mempersiapkan mereka menghadapi Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Presidennya, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, pencapaian Christian dan Aidan yang mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 walaupun baru digandingkan selama empat bulan membuktikan mereka mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sekiranya diberikan sokongan sewajarnya.

Beliau berkata, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin bagi membincangkan pelan hala tuju, termasuk keperluan program latihan dan bantuan kewangan untuk meningkatkan persediaan skuad kebangsaan.

“Christian dan Aidan sesuatu yang wajar dipertimbangkan. MSN patut melihat dan memantau prestasi mereka kerana mereka sudah membuktikan kemampuan untuk bersaing pada tahap ini di Sukan Asia.

“Bukan mudah untuk melangkah ke final, lebih-lebih lagi mereka baru bermain bersama selama tiga hingga empat bulan. Bayangkan jika ada peruntukan untuk membolehkan mereka beraksi lebih banyak kejohanan bersama serta mengikuti program sepenuh masa, ia tentu dapat membantu persiapan mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Tengku Abu Bakar berkata, sokongan kewangan amat penting bagi membolehkan pemain menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa Persekutuan Padel Antarabangsa (FIP), sekali gus menambah pengalaman dan memperbaiki kedudukan ranking.

Menurutnya, kejohanan FIP berlangsung hampir setiap minggu, namun kos penerbangan dan penyertaan menjadi antara cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pemain mendapat pendedahan secukupnya.

“Lebih banyak kejohanan yang dapat disertai, lebih banyak pengalaman akan diperoleh pemain dan mereka boleh meningkatkan prestasi. Sudah tentu semua itu memerlukan kos, terutama untuk penerbangan ke luar negara,” katanya.

Ketika ini, skuad kebangsaan padel mempunyai kira-kira lapan hingga 10 pemain di bawah naungan MPA, dengan persatuan giat membuat persiapan bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan yang dijadual berlangsung sekitar September.

Tengku Abu Bakar berkata, kejayaan Christian dan Aidan meraih perak pada penampilan sulung padel di Sukan Asia menjadi petanda positif terhadap potensi sukan itu, malah menyifatkan peluang memburu emas pada Sukan SEA 2027 sebagai sasaran realistik untuk pasukan negara.

“Sukan Asia ini membuka mata semua pihak bahawa kita mempunyai potensi untuk menang emas. Jadi, jika di Sukan SEA, peluang kita lebih besar.

“Kami juga bersedia berbincang dengan MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan bantuan, termasuk mengadakan kem latihan untuk skuad kebangsaan,” katanya.

Dalam pada masa sama, beliau berkata MPA turut merancang membangunkan program akar umbi bagi melahirkan lebih ramai pemain yang menceburi padel sejak usia muda.

“Buat masa ini, kebanyakan pemain kita datang daripada sukan skuasy dan tenis. Namun, matlamat jangka panjang kami adalah membangunkan program akar umbi supaya lebih ramai pemain dapat menceburi padel secara semula jadi sejak kecil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top