Pihak berkuasa Indonesia digesa namakan syarikat Malaysia dikaitkan kebakaran

Pihak berkuasa Indonesia digesa namakan syarikat Malaysia dikaitkan kebakaran

jashadiqe@nst.com.my

Johor Bahru: Pihak berkuasa Indonesia sepatutnya menamakan syarikat Malaysia didakwa terbabit pembakaran terbuka di negara itu dan mendedahkan dapatan siasatan kepada umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, dalam kenyataan hari ini berkata, syarikat terbabit tidak sepatutnya terlepas tanggungjawab semata-mata kerana kebakaran berlaku di luar Malaysia.

Beliau berkata, jika syarikat Malaysia terbabit, pihak berkuasa Indonesia perlu mendedahkannya dan memastikan siasatan dijalankan dengan telus, tertakluk kepada proses undang-undang sewajarnya.

Gesaan beliau dibuat di tengah keadaan jerebu yang semakin memburuk di beberapa kawasan di Malaysia yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat, terutamanya di Johor.

Kah Eng berkata, beliau menerima aduan hampir setiap hari daripada warga emas di kawasan DUN beliau, mengenai kesukaran bernafas dan rasa tidak selesa disebabkan jerebu.

“Ini bukan sekadar isu alam sekitar, malah membabitkan kesihatan awam,” katanya.

Beliau mengecam pembakaran terbuka serta tebas dan bakar diamalkan syarikat perladangan dan pekebun kecil untuk membersihkan hutan dan tanah gambut yang kaya dengan karbon, tanpa mengira negara asal syarikat atau di mana pembakaran berlaku.

Beliau berkata, mana-mana syarikat Malaysia didapati menyumbang kepada jerebu merentasi sempadan perlu bertanggungjawab menerusi proses undang-undang sesuai.

Kah Eng menyarankan Kerajaan Persekutuan memperkukuh undang-undang dan mekanisme penguatkuasaan bagi menangani isu jerebu merentasi sempadan.

Ia termasuk menimbangkan akta jerebu merentasi sempadan, yang dapat menyediakan rangka kerja lebih jelas bagi pihak berkuasa persekutuan dan negeri mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top