SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui perbincangan sedang berjalan berhubung kemungkinan Grand Prix (GP) Formula 1 (F1) kembali dianjurkan di negara ini pada masa depan.
“Saya memang menantikannya. Perkara ini masih berada dalam rundingan,” katanya sewaktu ditemu bual oleh media antarabangsa, Sky Sports ketika menghadiri GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Mengulas pula mengenai acara permotoran di Malaysia, beliau berkata, sukan itu sangat hebat dan telah banyak memberi manfaat kepada negara dan juga syarikat domestik.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bagaimanapun, beliau mengakui, cuaca panas serta lembap telah menjadikan sukan bermotor di negara ini agak mencabar.
“Anda boleh saksikan, saya sendiri sudah basah kuyup, tetapi, masih tetap teruja. Biasanya anda akan dapat lihat di seluruh negara kami meraikan perlumbaan ini,” ujarnya.
F1 kembali ke SIC buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun, selepas Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah GP Bahrain bagi pihak kerajaan Bahrain susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan perlumbaan itu tidak dapat dilangsungkan di Sakhir.
Kali terakhir perlumbaan termahal di dunia itu diadakan di Sepang adalah pada 2017 yang menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen muncul sebagai juara, manakala, Lewis Hamilton yang pada ketika itu bernaung di bawah pasukan Mercedes AMG Petronas berada di tempat kedua. – UTUSAN




