redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kluang: “Firasat saya mengatakan abah akan ‘bawa’ emak pergi bersama dan memang benar kerana emak meninggal dunia selang tiga hari selepas abah dijemput Ilahi.
“Kubur mereka pun bersebelahan. Nampak betapa kuatnya jodoh emak dan abah,” kata Zulridza Zulkepli atau Reza, 31.
Pemuda itu berkongsi kisahnya yang diuji dengan pemergian ibu bapa dalam tempoh singkat dengan bapanya, Zulkepli Katan pada 28 September manakala, ibunya Ainon Sapar pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya, Allahyarham bapanya meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat masalah buah pinggang kronik meninggal dunia, sementara ibunya yang terlantar akibat serangan angin ahmar menghembuskan nafas terakhir di sisinya.
Sebagai anak yang tinggal bersama dan sudah lapan tahun menjaga bapanya, Reza mengakui ralat tidak dapat berada di sisi bapanya di saat-saat akhir hidupnya, namun reda dengan takdir yang tertulis.
“Waktu itu saya ada urusan kerja di Kuala Lumpur. Kakak yang bantu jaga bapa dan difahamkan, abah meninggal dunia ketika tidur.
“Kakak sedar dalam jam 7 pagi dan abah meninggal dunia dengan memakai baju Melayu yang saya hadiahkan buatnya.
“Sehari selepas abah pergi, emak nampak tak okay, malah nafasnya seakan pendek.
“Dua hari kemudian, emak pula meninggal dunia dan waktu itu, saya ada di sisi arwah malah sempat minta ampun sebelum emak menutup mata,” katanya kepada Harian Metro.
Reza yang berasal dari Kampung Melayu Batu 9 berkata, ibu dan bapanya sudah lama menanggung derita akibat masalah kesihatan jadi sepanjang tempoh itu, dia banyak menghabiskan masa menjaga serta menguruskan mereka.
“Sebelum ini, saya terkejar-kejar kerana bekerja dan perlu bantu mandikan selain tukar lampin pakai buang… selepas ini tiada lagi rutin itu.
“Saya masih sedih malah jiwa terasa kosong sejak ketiadaan emak dengan abah, tapi saya reda kerana mereka sakit tapi pergi dalam keadaan tenang,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, tiada apa yang diharapkan melainkan kedua ibu bapanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diizinkan Allah SWT untuk menjadi penghuni syurga.
“Sebelum ini, emak tempat saya bergantung malah menjadi sandaran untuk bercerita semua hal dalam hidup saya… saya menumpang rezeki abah dan emak saya.
“Kini saya perlu teruskan hidup tanpa mereka dan terima kasih kepada semua yang mendoakan terutama selepas saya berkongsi kisah pemergian emak dengan abah di media sosial.
“Syukur ramai mendoakan emak dan abah malah cemburu dengan pemergian mereka. Tanah perkuburan yang menempatkan pusara emak dan abah pun di depan rumah saja, jadi saya akan kerap ke sana untuk melepaskan rindu,” katanya.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan kisah kecekalan Reza menjaga ibu bapanya yang uzur dan mempunyai komplikasi kesihatan walaupun mempunyai komitmen kerja hakiki sebagai pegawai di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Kisahnya mendapat perhatian selepas tular videonya membantu memandikan ibunya yang duduk di kerusi roda dan perkongsian itu menyentuh hati warganet hingga ramai menitipkan doa buatnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




