zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, meluangkan masa melihat kemeriahan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sempena Perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain Formula 1 (F1) di Malaysia 2026.
Perdana Menteri meninjau kawasan G Hillstand, yang menempatkan sebahagian besar pemegang tiket MADANI, sambil menyantuni peminat F1 yang hadir.
“Meriah suasana di sini, dengan pemandangan litar yang menarik dan Karnival Litar Rasa MADANI, yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan, menawarkan pelbagai makanan dan minuman, termasuk snek serta makanan ringan.
“Sambil menikmati perlumbaan di litar, bolehlah menjamu selera dan menyokong peniaga kita!” kata beliau dalam Facebooknya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan semua agensi yang terbabit dalam menjayakan karnival berkenaan.
“Ia sekali gus memastikan kemeriahan F1 turut membawa limpahan rezeki buat peniaga tempatan,” katanya.
F1 GP Gulf Air Bahrain di Malaysia bermula kelmarin, dengan sesi latihan bebas pertama dan kedua, diikuti sesi latihan bebas ketiga serta sesi kelayakan semalam.
Perlumbaan utama sebanyak 55 pusingan itu bermula pada petang ini.
Acara itu menandakan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun tidak berlangsung di litar berkenaan, dengan perlumbaan terakhir diadakan pada 2017.
Pada Julai lalu, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Oktober, susulan persetujuan yang membabitkan F1, FIA serta Kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas acara asal tidak dapat berlangsung di Bahrain, dengan perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan situasi serantau.
Kepulangan F1 ke Malaysia susulan perbincangan dan kerjasama membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa, selain kedua-dua kerajaan.
F1 membuat penampilan sulung di Sepang pada 1999, dengan litar berkenaan menjadi tuan rumah GP Malaysia sehingga 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




