Tunggakan MYEG: MOT, JPJ ambil tindakan undang-undang

Tunggakan MYEG: MOT, JPJ ambil tindakan undang-undang

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan perundangan yang sewajarnya bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan memandang serius sebarang ketidakpatuhan dalam pengurusan dan pemindahan hasil awam serta tidak akan berkompromi terhadap
mana-mana pihak yang gagal memenuhi tanggungjawab berkaitan wang kerajaan.

“Notis yang mencukupi telah diberikan. Sebanyak 35 notis telah diberikan. Kita telah sampai ke tahap ini dan terpaksa menggantung keseluruhan operasi. Mereka sepatutnya membayar dengan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, sudah tentu kita akan merujuk kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan agensi lain mengenai tindakan seterusnya dari segi tindakan sivil kerana ia bukan sahaja melanggar obligasi kontrak, tetapi melanggar undang-undang sebab mereka mengutip wang bagi pihak kerajaan,” katanya menerusi sidang akhbar berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di sini ini.

Ketika ditanya mengenai tempoh penggantungan servis perkhidmatan syarikat tersebut, Loke menjelaskan, penggantungan itu diteruskan sehingga syarikat berkenaan melunaskan keseluruhan tunggakan kepada kerajaan sebelum MOT mempertimbangkan untuk membuka semula perkhidmatan berkenaan.

“(MYEG) tak patut ada apa-apa alasan. Sepatutnya mereka mengutip bayaran itu, mereka kena bayarlah. Berulang kali kita dah bagi banyak peluang, kita dah keluarkan banyak notis peringatan, mengadakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.

“Dan sebab perkhidmatan ini sudah lama seperti yang saya katakan sejak tahun 2000, ramai pengguna dan orang awam menggunakan perkhidmatan mereka.

“Ini adalah tanggungjawab dan obligasi. Mereka hanya ejen pemungut (bagi JPJ). Ini bukan wang mereka. Ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ. Sepatutnya mereka pindahkan, jadi kutipan itu sepatutnya diterima oleh JPJ secara sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, penggantungan operasi MyEG tidak akan menjejaskan orang awam yang sudah membuat bayaran pembaharuan lesen mahu pun saman menerusi platform berkenaan.

“Obligasi mereka ialah mereka kutip bayaran itu, tetapi lesen diperbaharui serta-merta kepada pengguna. Dan sepatutnya pembayaran itu dikreditkan ke akaun kerajaan pada hari berikutnya.

“Tetapi itu tak berlaku dari segi pembayaran. Tetapi untuk pengguna, lesen itu memang sah. Kita tak akan memangsakan mana-mana pembayar cukai ataupun pengguna,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top