Nak Tambah Modal Menjelang Deepavali? Usahawan India Boleh Mohon Sehingga RM30,000

Nak Tambah Modal Menjelang Deepavali? Usahawan India Boleh Mohon Sehingga RM30,000

Usahawan masyarakat India yang memerlukan modal tambahan menjelang Deepavali boleh memohon pembiayaan sehingga RM30,000 menerusi skim BERKAT Deepavali yang menyediakan dana keseluruhan RM30 juta.

Skim pembiayaan khas itu dilaksanakan menerusi TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun serta tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kemudahan itu penting khususnya kepada peniaga kecil yang memerlukan modal dalam tempoh singkat untuk menambah stok dan membuat persediaan menjelang musim perayaan.

“Deepavali ialah antara tempoh jualan paling penting bagi ramai peniaga India. Jika mereka memerlukan modal untuk menambah stok, kita mahu pembiayaan itu sampai ketika mereka benar-benar memerlukannya.

“Bagi peniaga kecil, masa amat penting. Sebab itu, kita bukan sahaja menyediakan dana RM30 juta, tetapi juga mahu memastikan proses pembiayaan lebih cepat,” katanya ketika mengumumkan skim itu pada Program MADANI Kita Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026.

Skim BERKAT Deepavali menyediakan dana keseluruhan RM30 juta untuk membantu peniaga dan penjaja kecil masyarakat India.

Pembiayaan berkenaan boleh digunakan sebagai modal pusingan tambahan khususnya bagi peniaga dan penjaja kecil dalam sektor makanan dan minuman, pakaian serta penjualan peralatan dan kelengkapan menjelang Deepavali.

BERKAT Deepavali dibuka mulai 3 Oktober hingga 8 November 2026 dengan permohonan boleh dibuat menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau di pejabat cawangan TEKUN di seluruh negara.

Skim itu terbuka kepada warganegara Malaysia daripada masyarakat India berusia antara 18 hingga 65 tahun, manakala usahawan TEKUN sedia ada juga boleh memohon dengan syarat jumlah keseluruhan pembiayaan diterima tidak melebihi RM100,000.

Steven Sim mahu memastikan proses pembiayaan BERKAT Deepavali diproses dan diagihkan dengan lebih cepat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Mohamad Shiblie Abg Sapuan berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada proses permohonan yang mudah dan pantas supaya usahawan dapat menggunakan pembiayaan berkenaan ketika benar-benar diperlukan.

“Matlamat kita adalah memastikan untuk usahawan yang layak tidak terlepas peluang berniaga kerana kekurangan modal pusingan. Pasukan TEKUN akan membantu memastikan proses permohonan berjalan dengan lancar,” katanya.

Sebelum ini, menerusi skim BARAKAT sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilaksanakan dari Februari hingga Mac lalu, TEKUN Nasional menyalurkan RM35 juta kepada 5,590 usahawan.

Jumlah itu melebihi peruntukan awal RM30 juta yang disediakan menerusi skim berkenaan.


Scroll to Top