Kuala Lumpur: Pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini diharap memberi penekanan menyeluruh terhadap pembangunan industri kreatif khususnya aspek kebajikan, pembangunan modal insan dan kelangsungan kerjaya tenaga kerja yang menjadi penggerak utama sektor berkenaan.
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Industri Filem Malaysia (Profima), Khalil Saleh berkata, kekuatan industri filem tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah produksi dan nilai pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kekuatan tenaga kerja yang menggerakkan sesebuah karya.
Menurutnya, pekerja filem perlu dilihat sebagai aset strategik kerana mereka membentuk rantaian kerja yang memastikan sesebuah produksi dapat direalisasikan daripada peringkat praproduksi hingga pascaproduksi.
“Justeru, Profima mengemukakan lima harapan utama kepada kerajaan, termasuk penubuhan Tabung Kecemasan Penggiat Filem Malaysia yang boleh diuruskan menerusi jawatankuasa khas membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan wakil industri kreatif.
“Tabung berkenaan boleh menjadi jaringan keselamatan kepada penggiat filem yang berdepan musibah atau kecemasan sehingga menjejaskan kehidupan serta keupayaan mereka untuk bekerja,” katanya kepada BH Online.
Menurutnya, model tabung kebajikan dalam sektor media seperti Tabung Kasih@HAWANA boleh dijadikan rujukan dengan penyesuaian mengikut realiti dan keperluan tenaga kerja filem.
“Industri tidak boleh hanya menjaga produk, tapi mesti menjaga manusianya.
“Selain kebajikan, Profima berharap kerajaan menyediakan dana latihan dan pembangunan kemahiran secara berterusan khusus kepada tenaga kerja serta kru filem menerusi FINAS,” katanya.
Katanya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), produksi maya, kesan visual (VFX), teknologi kamera, bunyi dan pasca produksi menuntut tenaga kerja industri meningkatkan kemahiran.
“Jangan hanya membiayai produksi untuk menghasilkan filem hari ini. Biayailah manusia untuk menghasilkan filem Malaysia untuk 10 tahun akan datang,” katanya.
Dalam masa sama, Profima juga menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai hab produksi serantau, namun kemasukan produksi antarabangsa perlu memberi limpahan ekonomi serta peluang pembangunan kemahiran kepada kru tempatan.
“Kita tidak mahu Malaysia hanya menjadi lokasi penggambaran dunia, malah mahu pekerja Malaysia juga menjadi sebahagian daripada tenaga kerja produksi dunia,” katanya.
Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di set penggambaran turut diberi penekanan, mengambil kira sifat pekerjaan yang membabitkan waktu kerja panjang, penggambaran malam, lokasi berbahaya, peralatan berat, elektrik, aksi lagak ngeri serta keadaan cuaca.
Justeru, Profima mencadangkan pengukuhan garis panduan keselamatan, latihan, pengurusan risiko dan kesiapsiagaan kecemasan yang lebih khusus kepada industri filem.
Dalam usaha memperkukuh profesionalisme tenaga kerja, Profima berharap kerajaan membuka ruang lebih luas kepada pengiktirafan pengalaman dan kemahiran penggiat filem menerusi Recognition of Prior Learning (RPL), pensijilan kemahiran serta micro-credentials dengan kerjasama FINAS dan institusi pendidikan serta kemahiran.
Katanya, sebahagian besar penggiat filem membina kepakaran menerusi pengalaman di lapangan dan kemahiran itu wajar mempunyai laluan pengiktirafan yang lebih tersusun.
“Penggiat filem tidak bermula dengan sijil, mereka membina kemahiran melalui pengalaman. Kerajaan boleh memastikan pengalaman itu akhirnya mempunyai pengiktirafan,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pembangunan industri kreatif tidak hanya berorientasikan penghasilan kandungan, tetapi turut membina tenaga kerja berkemahiran, mendapat perlindungan dan mempunyai prospek kerjaya yang lebih jelas.
“Profima datang dengan harapan agar kerajaan membina ekosistem yang membolehkan pekerja filem terus bekerja, terus belajar, terus berkembang dan terus menyumbang kepada ekonomi kreatif negara,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berharap Belanjawan 2027 kembali memberi perhatian kepada pembangunan industri kreatif menerusi peruntukan yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan, perniagaan dan kebajikan penggiat seni.
Menurutnya, dana RM200 juta yang pernah disediakan bagi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi industri kreatif diharap dapat diwujudkan semula, selain mengambil kira keperluan persatuan yang bernaung dalam sektor berkenaan.
“Harapan Seniman tentulah mahu dana RM200 juta yang pernah diberikan sebelum ini untuk pembangunan dan ekonomi industri dapat diwujudkan semula.
“Dalam masa sama, dana itu juga tidak terlepas kepada persatuan yang bernaung di bawah industri bagi membantu kebajikan golongan seni,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berharap kerajaan memberikan lebih perhatian kepada industri kandungan kreatif tempatan sebagai sektor strategik menerusi Belanjawan 2027.
Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan Dasar Kandungan Membina Negara Bangsa yang jelas dan berterusan dengan mengambil kira peranan drama, dokumentari, filem dan program televisyen dalam membentuk nilai, jati diri, perpaduan, budaya serta pemikiran masyarakat.
“Drama, dokumentari, filem dan program televisyen bukan sekadar hiburan, tetapi mempunyai peranan besar dalam membentuk nilai, jati diri, perpaduan, budaya serta pemikiran masyarakat,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu menyediakan dana mencukupi dan berterusan bagi membolehkan syarikat penerbitan tempatan berkembang secara mampan, meningkatkan kualiti produksi, membina harta intelek (IP), meneroka teknologi baharu serta bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita tidak mahu syarikat penerbitan sekadar bertahan dari satu projek ke satu projek. Kita mahu membina syarikat kandungan Malaysia yang kukuh, berdaya saing dan mampu membawa karya tempatan ke pasaran dunia,” katanya.
Justeru, beliau berharap Belanjawan 2027 melihat industri kandungan kreatif dalam kerangka lebih luas bukan sekadar sektor hiburan, tetapi pelaburan strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan ekonomi, pemerkasaan budaya dan pembinaan negara bangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




