am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Noraniza Idris masih menyimpan rasa terkilan apabila karya ciptaan Allahyarham Pak Ngah untuk dirinya tidak sempat direalisasikan.
Noraniza, 58, atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, lagu itu sudah siap dirakam, namun kesibukan kerja ketika itu menyebabkan dia tidak sempat meneruskan perbincangan lanjut dengan Allahyarham.
Menurutnya, akhirnya lagu berkenaan diserahkan kepada penyanyi lain selepas terlalu lama menunggu untuk disempurnakan.
“Sebenarnya, waktu itu saya memang sudah lama tidak mendapat lagu sentuhan Pak Ngah. Jadi, saya minta suami berjumpa Pak Ngah semula kerana mahu mendapatkan satu karya daripada beliau.
“Lagu itu sudah siap rakam secara ‘raw’ sebelum dimasukkan bunyi lain. Hasilnya bagus. Saya juga tidak sabar untuk masuk studio semula, tetapi disebabkan kekangan kerja, kami tidak sempat berbincang lebih lanjut.
“Mungkin dia sudah lama menunggu dan ada sesuatu yang tersimpan. Akhirnya, dia serahkan lagu itu kepada orang lain. Saya terkilan juga, tetapi berlapang dada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Forum Apresiasi Seni Adikarya Pak Ngah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini, baru-baru ini.
Mengimbas keperibadian Allahyarham, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia itu menyifatkan Pak Ngah sebagai seniman yang sensitif serta amat menghargai hubungan rapat dengan insan yang pernah bekerja dengannya.
Katanya, Pak Ngah mempunyai cara tersendiri dalam meluahkan perasaan, manakala sikap berdiam diri Allahyarham adakalanya lebih memberi kesan berbanding kemarahan secara terbuka.
“Bagi saya, kalau Pak Ngah marah, biarlah dia marah berbakul-bakul. Jangan dia diam kerana kalau diam, memang boleh meresap ke kalbu sampai kita sendiri tidak tahu hendak buat apa.
“Orang seni ini ada cara tersendiri meluahkan perasaan. Kalau Pak Ngah cakap dia tidak suka, maknanya kita kena buat sampai dia suka.
“Tetapi kalau dia sudah sebut ‘terpulang’, kita kena fikir sendiri bagaimana hendak memenangi semula hatinya,” katanya yang muncul dengan single terbaharu berjudul Salam Kaut.
Allahyarham atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd Zain, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada 25 September 2018 akibat serangan jantung, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya ke-60.
© New Straits Times Press (M) Bhd




