am@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Kenapa buat (bunuh) cucu saya sebegitu? Apa salah cucu saya?” Itu rintihan Khyar Abas, 69, datuk kepada Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal selepas kehilangan cucu kesayangannya kelmarin.
Walaupun tahu Irene Sofiya yang lebih mesra dengan panggilan Fiya sudah tidak kembali lagi, Khyar sukar menyembunyikan kesedihan yang terpaksa dilalui mereka sekeluarga ketika ini.
“Kalau saya menangis sekali pun, Fiya tidak akan kembali. Saya cuma kesal kenapa Fiya menjadi mangsa?
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. Bagilah balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan perbuatan ini.
“Kita mahu tindakan ini diambil bukan untuk saya atau keluarga, tetapi sebagai pengajaran supaya ia tidak berulang ke atas orang lain,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di rumahnya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng hari ini.
Sementara itu, Khyar berkata, sepatutnya Fiya akan bersekolah seperti biasa hari ini dan bersalaman dengannya ke sekolah yang menjadi amalan rutin.
“Tapi pagi tadi selepas solat Subuh, perasaan saya seolah-olah Fiya masih ada. Hati saya sebak dan menangis kerana saya terbayang Fiya masuk bilik mahu bersalam dengan saya.
“Saya rindu dia (Fiya) terutama setiap kali mahu ke sekolah. Pagi tadi, baru saya sedar, Fiya sudah tiada dan sebab itulah saya kena kuat untuk hadapi dugaan ini,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri bersedia membantu dari segi keperluan asas termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) demi keselamatan murid di sekolah.
Katanya, aspek keselamatan pelajar di sekolah wajar diberi perhatian supaya kejadian menimpa pelajar Tingkatan Empat itu dapat dielakkan.
“Kita semua sedar dari segi apa yang boleh kita bantu di peringkat kerajaan negeri, kita akan bantu. Namun, ada ribuan sekolah di Johor dan puluhan ribu sekolah di negara ini, dan ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Sebab itu saya rasa perkara ini perlu dilihat dengan lebih teliti oleh kementerian. Saya akan berhubung dengan pihak kementerian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




